suria

Najib, BN Diterima Belia Minoriti

KUALA LUMPUR: Golongan belia Malaysia daripada enam kumpulan minoriti - India Muslim, Portugis, Baba Nyonya, Orang Asli, Siam, dan Chetti - menerima dengan baik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan pendekatan mesra rakyatnya.

Ini adalah penemuan kajian julung kali yang dijalankan oleh Ahli Antropologi Sosial Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr Sarjit Singh Gill untuk menilai pengetahuan politik dan kecenderungan politik golongan minoriti ini.

Kajian mengenai Persepsi dan Penerimaan Belia Minoriti Terhadap Parti Pemerintah ini juga mendedahkan bahawa golongan minoriti ini yang mewakili 8 peratus daripada jumlah penduduk seramai 28 juta mengikuti dengan teliti perkembangan politik di negara walaupun mereka tidak terbabit dengan aktif dalam arus perdana politik.

Sejumlah 54.2 peratus daripada responden dalam kajian ini memilih Najib sebagai orang yang paling sesuai memegang jawatan Perdana Menteri berbanding ketua defacto PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat, Pengerusi DAP Karpal Singh, Presiden MCA Datuk Seri Chua Soi Lek, Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang dan Presiden MIC Datuk G. Palanivel.

Tinjauan Sarjit juga mendapati purata 82 peratus daripada 850 responden akan mengundi Barisan National (BN) dalam pilihan raya akan datang kecuali sebilangan besar belia Baba Nyonya yang memilih PKR.

"Undi minoriti pasti bermakna pada Pilihan Raya Umum ke-13 khasnya memandangkan 66.5 peratus daripada responden adalah pengundi berdaftar dengan 53.1 peratus daripada mereka mengundi pada pilihan raya lepas," kata Sarjit mengenai kumpulan minoriti itu yang tidak menerima perhatian dalam arena politik negara sehingga Pilihan Raya Umum 2008 yang menyaksikan BN tewas teruk di beberapa negeri.

PETUNJUK AKAN PERUBAHAN SELERA

Hasil kajian ini adalah petanda baik bagi Najib dan BN serta selaras dengan penemuan satu lagi kajian persepsi terhadap Najib sebelum ini yang dijalankan oleh seorang lagi anggota akademik Professor Datuk Dr Syed Arabi Idid dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Kajian dalam kalangan pengundi kumpulan etnik utama dengan penemuannya yang diterbitkan pada bulan lepas menunjukkan bahawa populariti Najib terus meningkat sejak 2009.

Penyelidikan dua tahun ini dalam kalangan masyarakat minoriti berusia 17-40 ini dibiayai melalui geran universiti penyelidikan UPM dengan kajian lapangan dijalankan dari Jun hingga Julai 2011 di Semenanjung.

KAJIAN DEDAHKAN KESEDARAN POLITIK YANG TINGGI

Sarjit, yang juga ketua Jabatan Sains Kemasyarakatan dan Pembangunan di bawah Fakulti Ekologi Manusia UPM, berkata golongan minoriti ini mempunyai aspirasi politik tersendiri tetapi menghadapi masalah dalam menyertai mana-mana parti politik di negara ini kerana sistem politik yang berlandaskan kaum.

"Masyarakat Baba Nyonya berpendapat mereka lebih dekat dengan masyarakat Cina tetapi tidak dapat sertai MCA, begitu juga masyarakat Chetti yang rasa mereka lebih dekat dengan masyarakat India tetapi oleh kerana mereka bukan sebahagian daripada kumpulan etnik yang lebih besar itu mereka dipandang sepi oleh parti-parti ini," katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, peratusan signifikan belia India Muslim (67.6 peratus), Portugis (41.8 peratus), Orang Asli (74.2 peratus), Siam (76.7 peratus) menunjukkan minat untuk menyertai Umno sementara belia Baba Nyonya pula memilih MCA (25.6 peratus), DAP (16.3 peratus) dan PKR (11.6 peratus) dengan satu lagi bahagian signifikan tidak menunjukkan minat dengan mana-mana parti (46.5 peratus).

Belia Chetti pula memilih MIC (56.8 peratus) tetapi mengeluh yang parti itu tidak menghiraukan mereka.

Satu lagi penemuan menarik adalah bilangan besar belia daripada masyarakat minoriti ini kecuali daripada masyarakat India Muslim, bergantung kepada media tradisional seperti akhbar dan televisyen dan bukan media alternatif seperti Internet dalam mengikuti perkembangan politik semasa.

Mereka juga mempunyai pengetahuan baik akan Malaysia, politik semasa dan pilihan raya dan pada amnya mempunyai persepsi yang agak baik terhadap BN dan dasar-dasar kerajaan.

Calon pilihan mereka juga berbeza mengikut agama, negeri dan ideologi politik kecuali bagi Baba Nyonya yang mahu calon daripada kaum mereka, dengan kepercayaan mereka dan dari negeri mereka.

DR MAHATHIR MASIH DISEGANI

Seperti kajian Dr Syed Arabi sebelum ini, Sarjit juga menggunakan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menanda aras pilihan pengundi dan jelas sekali mantan Perdana Menteri itu masih disegani dengan 28.7 peratus daripada responden menamakan beliau sebagai calon paling sesuai selepas Najib untuk jawatan Perdana Menteri.

Selain itu, Sarjit berpendapat oleh kerana penghormatan tinggi terhadap Dr Mahathir, mereka memilih anak beliau Datuk Mukriz Tun Mahathir sebagai pemimpin belia yang disegani (58.7 peratus).

Mukriz mendahului senarai dan ia disusuli dengan Ketua Pemuda PAS Nasrudin Hassan Tantawi, Ketua Pemuda MCA Datuk Ir Wee Ka Siong, Naib Ketua Umno Datuk Razali Ibrahim, Gobind Singh Deo dari DAP, Ketua Pemuda Umno dan Ketua Pemuda MIC T. Mohan kesemuanya mencatatkan kurang 10 peratus.

Sarjit juga menunjukkan golongan minoriti, kecuali Orang Asli dan Portugis, merasa mereka dipinggirkan oleh kerajaan selama ini dan buktinya adalah sehingga ini tiada pihak atau jawatankuasa yang diwujudkan untuk menjaga hal ehwal India Muslim, Chetti dan Baba Nyonya di kebanyakan negeri.

Walaupun kumpulan minoriti ini dipandang sepi oleh kumpulan etnik yang lebih besar, mereka mungkin menjadi penentu pada Pilihan Raya Umum ke-13 yang diwar-warkan pada suku pertama 2012. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain