suria

Mesej Kanser Kepada Pelajar

KUALA LUMPUR: Dalam usaha mewujudkan kesedaran yang lebih mengenai kanser dan cara-cara menjauhi penyakit berbahaya ini, satu program kesedaran dilancarkan baru-baru ini di Lembah Klang. Program, yang bertajuk 'Harapan Bagi Anak-anak Kita', dianjurkan menerusi kerjasama antara Pertubuhan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) dan syarikat peruncit perabot dan elektronik terkemuka, Courts Malaysia.

Ia berlangsung di lima buah sekolah menengah - SMK Seri Rampai, SMK Seksyen 5 Wangsa Maju, SMK Taman Setiawangsa, SMK Wangsa Melawati dan SMK St John.

Program yang sama akan diadakan di 10 buah sekolah lagi sebelum ia diperluaskan ke sekolah di luar Lembah Klang, sehingga Sabah dan Sarawak pada masa akan datang.

MEMBABITKAN PELAJAR

Dalam menyampaikan mesej mengenai kanser, selain daripada ceramah, program itu membabitkan penyertaan aktif pelajar dalam pelbagai aktiviti termasuk lukisan dan kerja seni yang menzahirkan cara-cara kanser boleh dicegah.

Tiga penyertaan yang menang daripada setiap sekolah yang mentafsirkan dengan jelas subjek itu dalam bentuk lukisan atau kerja seni akan dipamerkan atau digunakan dalam kempen untuk menunjukkan cara-cara menjauhi kanser.

"Hanya kira-kira 43 peratus daripada pelajar sekolah di Malaysia mengenali apa sebenarnya kanser. Bagaimanapun, selepas menjalani program ini lebih 90 peratus daripada mereka boleh dikatakan celik kanser. "Pada akhir program ini semua yang mengambil bahagian mengetahui faktor-faktor yang menyebabkan kanser," kata Dr Dalilah Kamaruddin, Ketua Pegawai Perubatan di Pusat Pemeriksaan Kanser Wanita, NCSM.

Beliau yakin bahawa program ini akan membantu mencetuskan inspirasi dalam kalangan pelajar untuk mengamalkan gaya hidup sihat dan berharap program ini dapat diperluaskan ke semua sekolah. "Melalui pelajar, maklumat mengenai kanser dan risiko boleh disampaikan dengan lebih cepat kepada masyarakat. Mereka akan berkongsi apa yang dipelajari bersama rakan-rakan sebaya, keluarga, jiran dan mereka yang lain.

"Ini cara berkesan untuk menyampaikan maklumat akan penyakit itu," katanya pada satu pertemuan di pejabat NCSM baru-baru ini.

Pendekatan ini dianggap lebih menyeluruh dalam menyedarkan rakyat Malaysia mengapa penting mengekalkan gaya hidup sihat untuk menjauhi kanser.

Mengetahui lanjut akan kanser dan bahaya yang disebabkan oleh penyakit itu boleh membantu orang ramai mengelakkan diri daripada menjadi antara statistik kanser. MAKLUMAT BALAS

Para penuntut di SMK Seri Rampai memberi sambutan positif terhadap program ini. "Saya kini mengetahui mengenai gaya hidup sihat. Saya juga dapat berkongsi apa yang dipelajari demi manfaat mereka yang lain," jelas Nur Hasifah Hassan, 17, mengenai pendapatnya mengenai program itu.

Program ini juga mempamerkan jenis barah lazim mengikut jantina.

"Seorang pelajar lelaki bertanya mengenai TSE (Testicular Self Examination), pemeriksaan sendiri organ lelaki semasa program itu. "Beliau jelas malu, dan kami menjawab pertanyaannya demi manfaat semua. Ujian sendiri ini penting bagi lelaki seawal 15 tahun untuk mengesan kanser testis," jelas Dr Dalilah akan kaedah dialisis yang tidak begitu dikenali ini.

Sakinah Khamis, Penolong Kanan SMK Seri Rampai yang bertanggungjawab bagi aktiviti ko-kurikulum berkata program ini telah mencetuskan kesan positif kepada pelajar remaja, dan pastinya membantu dalam pengajian mereka.

"Ini berguna bagi mereka yang berminat dengan mata pelajaran sains. "Program ini mendedahkan pelajar kepada gaya hidup positif, dan mencetuskan kesedaran yang lebih tinggi akan penyakit pembunuh ini bermula sedari bangku sekolah lagi," katanya.

SUMBANGAN MURNI COURTS Program ini, sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat, akan diteruskan selama tiga tahun.

Courts Malaysia bersama penyertaan 1,200 kakitangannya sehingga kini telah membantu lebih 1,000 penuntut untuk mengetahui mengenai bahaya dan risiko kanser. "Kami di Courts bersepakat memilih untuk mendidik pelajar sekolah menengah mengenai penyakit kanser terutama yang dihidapi kanak-kanak.

"Courts juga berhasrat membantu NCSM mengutip RM1 juta melalui aktiviti tahunan yang dijalankan bersama," jelas Chris Yong, pengarah negara bagi Courts Malaysia Sdn Bhd. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain