suria

Terbiar,Tidak Dihargai Bukan Penghalang Mohd Yuspi Berjuang

Mohd Yuspi (kanan) memegang piala yang dimenangi bersama rakannya Yee Gan Chee di Pulau Pinang.

MOHD Yuspi Mat Dali bukanlah satu nama asing dikalangan atilit para kerana kemampuan dan pecapaiannya dalam acara powerlifting sejak 10 tahun lalu cukup membanggakan dan mengharumkan nama Malaysia.

Walaupun bapa kepada lima cahaya mata berusia lingkungan dua hingga 13 tahun itu hanya menggunakan kaki kanan untuk bersaing dengan atlit Eropah dan Asean namun semangatnya tidak pernah luntur.

Mohd Yuspi kehilangan kaki kiri selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya pada Februari 1998 semasa kariernya sebagai ahli bina badan dan ahli sukan angkat berat sedang dibina.

Namun begitu, niat untuk membawa perjuangannya ke peringkat antarabangsa tidak pernah luntur apabila menceburi sukan para.

Hasil usaha gigih dan moral yang tinggi untuk mengharumkan nama negara, kini namanya tersenarai di kedudukan ke-15 atlit powerlifting dunia.

Berdasarkan rekod cemerlangnya, penulis tertarik untuk berkongsi kejayaan dan pengalaman Mohd Yuspi dengan mengunjungi rumahnya di Mukim 16 Bukit Mertajam, Pulau Pinang baru-baru ini.

Bercerita mengenai dirinya, insan betubuh sasa ini dilahirkan dalam keadaan normal seperti individu lain pada 2 Oktober 1976.

Ketika Berusia 19 tahun Mohd Yuspi mula mendekatkan diri dengan sukan bina badan. Akibat tidak mempunyai perbelanjaan besar, dia menjadikan tin berisi simen sebagai dumbbell.

Hasil usaha tersebut, dia berjaya berada di kedudukan kedua pada kejohanan bina badan, Mr Kedah kategori remaja battamweight. Pada 1997 Mohd Yuspi menjadi johan bina badan Lightweight terbuka Kedah.

Kemenangan itu membuka peluangnya untuk menyertai kejohanan bina badan remaja terbuka Malaysia pada tahun 1998, berikutan itu latih tubi giat dijalankan.

Langit yang cerah dalam hidup Mohd. Yuspi tiba-tiba mendung pada 6 Februari 1998 apabila kaki kirinya hancur dalam kemalangan jalan raya.

Cita-citanya untuk menjadi jaguh bina badan terpadam seketika, namun minatnya tidak pernah pudar apabila wang perlindungan diri yang diperolehi sebanyak RM40,000 dibelanjakan untuk membina sebuah gym mini di rumahnya sendiri.

Kemudian muncul pula insan bernama, Ng Chaw Seng yang sanggup menunjuk ajar mengenai latihannya dan hasil usaha gigih pada 2001, Mohd Yuspi buat lai pertama menyertai acara powerlifting dan muncul johan kategori 127 kilogram (kg).

Sejak itu, dia mula menyertai pertandingan diperingkat antarabangsa dan kebangsaan sebagai atlit para dan antaranya seperti berikut:

-29 Ogos 2001 : Kejuaran Paralimpik Dunia ketiga (tempat ketiga).

-29 Oktober 2002: Sukan Fespic kelapan di Busan (tempat ketiga).

-31 Oktober 2003: Kejohanan Kerusi Roda Dunia di Christchurch, New Zealand (tempat kelima).

-25 Disember 2003: Sukan Para Asean kedua di Hanoi, Vietnam (johan).

-18 Disember 2012: Sukan Para Asean di Manila (johan).

-25 Januari 2008: Sukan Para Aseandi Nakhon Ratchasima, Thailand (johan).

-18 Ogos 2009: Sukan Para Asean di Kuala Lumpur (johan).

Disebalik kemenangan itu, Mohd Yuspi mendakwa dia tidak pernah mendapat sebarang penghargaan atau peruntukkan, malah segala kos latihan dan makanan tambahan perlu ditanggung sendiri.

Mungkin terfikir difikirannya, adakah perjuangannya terhadap negara dalam sukan sekadar aktiviti sia-sia kerana ia tidak dapat membantu menampung 'periuk nasi' keluarganya.

Tetapi sebagai rakyat Malaysia, Mohd Yuspi masih meneruskan minatnya dengan berkorban untuk negara sehingga menyertai Kejohanan Powerlifting IPC Dunia di Dubai pada awal April lalu.

Ketika tiba di ibu negara, insan bergelar orang kurang upaya (OKU) itu sekali lagi sebak gara-gara diminta pulang ke Bukit Mertajam tanpa diberikan tambang atau kenderaan penghantaran.

Berbekalkan kaki kanan dan wang RM21, dia akhirnya tiba ke kampung halaman untuk bertemu isteri dan anak-anak.

Satu perkara yang membuatkan penulis terharu terhadap sikap Mohd Yuspi ialah dia tidak menjadikan perkara tersebut sebagai alasan untuk terus berjuang kepada negara.

Sebaliknya dia akan berlatih untuk terus mengharumkan nama negara.

Oleh itu, pastinya tidak menjadi beban kepada mana-mana individu atau syarikat jika memberi sokongan kepadanya dengan menyalurkan bantuan menerusi akaun Maybank Mohd Yuspi Mat Dali: 157091250941.

Dengan langkah ini, mungkin atlit sepertinya terasa masih dihargai oleh masyarakat tanpa mengira agama dan bangsa untuk mereka terus berjuang kepada negara.

Dubai, Powerlifting, Vietnam

Artikel Sebelum

Artikel Lain