suria

Iftar Nostalgia Kampung Di Taman Botani Putrajaya

MENGHAYATI indah di Taman Botani, Putrajaya, sambil menikmati lebih 80 hidangan bufet Ramadan yang menyelerakan di Restoran Spring Garden tentu sesuatu yang menarik.

Menggunakan tema Sajian Nostalgia Kampung, makanan tradisional yang dihidangkan memikat selera.

Ketua Chef, Hoh Kwai Sang berkata, gerai makanan laut yang dipanggang menjadi perhatian untuk bufet Ramadan ini.

"Makanan laut sememangnya menjadi tarikan utama tahun ini, kami menawarkan pelbagai jenis makanan laut untuk tetamu yang hadir.

"Antaranya ialah ketam bunga panggang, sotong sumbat, ikan pari, ikan kembung bersama sambal dan ikan tilapia," katanya.

Mempunyai dekorasi dalaman seperti hiasan kampung, tetamu boleh memilih untuk duduk di dalam restoran berhawa dingin atau bersantai di bahagian luar dengan menikmati pemandangan tasik yang indah.

Penulis mencuba hidangan pertama iaitu Sup Tulang Bebola Daging.

Jika dibandingkan dengan sup tulang yang lain, kebiasaannya sup akan mempunyai rasa daging yang kuat dan juga minyak akan kelihatan di permukaan sup.

Namun di Spring Garden, sup yang dihasilkan ternyata berbeza kerana lapisan minyak tidak kelihatan tetapi rasanya memikat selera.

Selain itu, penulis turut menggemari Ayam Madu Mamak yang dihidangkan.

Menurut Kwai Sang, ayam tersebut diperap menggunakan serbuk kari bersama perasa khas sebelum digoreng hingga mengeluarkan warna keemasan.

"Kami masak ayam ini menggunakan sos yang diperbuat daripada cili, bawang putih, nenas dan meletakkan sedikit gula untuk memberi rasa manis," katanya.

Satu lagi juadah yang harus di cuba ialah Kari Santan Kepala Ikan yang dihidangkan bersama Nasi Briyani.

Menggunakan kepala ikan tilapia sebagai bahan utama, kari yang berwarna keemasan tersebut dimasak menggunakan terung dan kacang panjang, selain santan dan susu segar sehingga berjaya menghasilkan kuah yang berkrim.

Antara makanan lain yang dihidangkan rendang daging, telur masak lemak, ayam goreng pedas, paru-paru goreng kunyit dan pelbagai jenis kerabu.

Bagi peminat manisan, anda boleh mencuba beraneka pencuci mulut seperti pengat durian, bubur pulut hitam, kek durian, cucur jawa dan kuih tok haji serban.

Selain dari juadah tradisional, bufet ini turut menawarkan juadah Dim Sum seperti siew mai, tauhu gulung, bebola ikan dan kulit tofu.

Restoran Spring Garden ini menawarkan bufet Ramadan pada kadar RM88 untuk dewasa dan RM58 bagi kanak-kanak berketinggian 90cm ke 120cm.

Rendang Ketam turut dijual pada harga RM100 sekilo.

Bagi yang meminati raja buah pula, bufet durian turut disajikan pada setiap hujung minggu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Biskut Cawan

Artikel Lain