suria

Melting Pot Café Gamit Rasa Ala Kampung

AYAM percik boleh dikatakan sebagai juadah berbuka puasa istimewa tiap kali tibanya Ramadan.

Hidangan berkenaan mempunyai keistimewaan tersendiri dan cukup sinonim dengan gerai-gerai di bazar Ramadan di seluruh negara.

Namun sempena Ramadan kali ini, anda tidak perlu bersesak di bazar Ramadan apabila Melting Pot di Hotel Concorde Kuala Lumpur turut menyajikan ayam percik pasar malam sebagai juadah berbuka puasa.

Selain ayam percik, masakan ala kampung seperti ayam lemak umbut kelapa, kari ikan sempoi Penang, kambing masak cik putih, ketam bercili, gulai urat belimbing buluh dan pais udang dengan serunding kelapa pasti menambat selera anda.


Turut bakal mencuit selera anda ialah daging masak bamiah, paru goreng berjintan, ikan pari asam pedas Melaka, siput sedut lemak cili api, pajeri nenas, ketam berempah, rendang nangka muda dan kepah tumis serai.

Tidak ketinggalann ialah hidangan istimewa Melting Pot setiap kali datangnya Ramadan seperti bubur lambuk, sup gearbox, teppanyaki, kambing panggang akan disajikan setiap hari.

Bertemakan 'Ala-Ala Kampung', barisan chef yang diketuai oleh Eksekutif Sous Chef, Azlan Juri bersama Chef Marubah Amran dan Chef Rogayah Sharif menjanjikan keistimewaan dalam setiap resipi dan juadah yang dicipta.

Bukan itu sahaja, gerai goreng-goreng dengan hidangan kegememaran ramai seperti cekodok, cucur udang dan keledek goreng turut menanti bufet Ramadan di Melting Pot.


Bagi peminat mee, setiap malam pengunjung dapat menikmati dua jenis hidangan mee seperti mee soto, mee udang, laksa Johor, mee rojak, mee bandung, asam laksa, mee kari atau bihun sup utara.

Kurang lengkap jika hidangan ala kampung tidak diserikan dengan kuih muih tradisional Melayu seperti tepung talam, kuih sago, abuk-abuk, kuih ketayap, seri muka dan aneka bubur.

Kemeriahan berbuka puasa di Melting Pot bermula pukul 7 petang hingga 10.30 malam, mulai 6 Jun hingga 5 Julai.

Ia ditawarkan pada harga RM148 seorang. Diskaun istimewa sebanyak 15 peratus boleh dinikmati jika tempahan dibuat untuk tarikh 6 hingga 12 Jun dan 3 hingga 5 Julai.
Melting Pot

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Jus Kismis Madu

Artikel Lain