Malaysia, Australia Berperanan Sedia Kertas Cadangan Atasi Keselamatan Maritim - Dunia | mStar

Malaysia, Australia Berperanan Sedia Kertas Cadangan Atasi Keselamatan Maritim

SINGAPURA: Malaysia dan Australia bertanggungjawab menyediakan kertas cadangan cara-cara mengatasi masalah keselamatan maritim yang merupakan antara kaedah yang diambil oleh Perjanjian Pertahanan Lima Negara (FPDA) dalam usaha menghadapi ancaman bukan konvensional.

Menteri Pertahanan Malaysia Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata ancaman tidak konvensional ini meliputi perkara ancaman baru termasuk keselamatan siber, perlanunan dan rompakan laut, keselamatan maritim dan juga perubatan ketenteraan, bantuan kemanusiaan dan bencana alam.

"Ini merupakan lima aspek baru yang tidak pernah terbayang 40 tahun lalu tetapi realitinya aspek ini harus dilihat untuk memperhatikan perkara yang baru dan akan datang harus diberikan tumpuan," katanya kepada pemberita Malaysia di Pangkalan Tentera Laut Changi di sini.

Sebelum itu beliau mengadakan sidang media bersama dengan empat lagi menteri pertahan FPDA, Menteri Pertahanan Singapura, Dr Ng Eng Hen, Menteri Pertahanan Australia, Stephen Smith, Menteri Pertahanan New Zealand, Dr Wayne Mapp dan Setiausaha Negara untuk Pertahanan United Kingdom, Philip Hammond.

Sidang media bersama itu diadakan sempena sambutan ulang tahun FPDA yang ke-40 tahun dan Mesyuarat Menteri-menteri FPDA ke-8 yang dipengerusikan Dr Ng.

Ahmad Zahid berkata keadaan yang tidak konvensional ini akan menjadi satu ancaman jika "kita tidak mencari jalan untuk mengatasinya dengan mengadakan perancangan awal terutamanya dari segi perang bio-kimia."

"Apa yang kita lakukan ialah dengan mengadakan beberapa kaji selidik untuk mencari kaedah-kaedah baru yang memang muncul pada keadaan di mana pihak yang mengeluarkan produk dan aset pertahanan memang mengeluarkan produk baru dalam pertahanan yang tidak konvensional," katanya.

Beliau berkata apa yang dilakukan FPDA sebenarnya ialah melampaui batas waktu pada masa sekarang.

"Kita telah memikirkan tentang kerjasama antara negara, sebab itu Malaysia dan Australia telah diberikan tanggungjawab untuk menyediakan kertas cadangan bagaimana mengatasi masalah keselamatan maritim dan ada aspek-aspek lain yang telah dilakukan oleh negara yang terlibat.

"Pada hemat saya ini adalah merupakan persediaan untuk menghadapi ancaman baru yang diantisipasikan," tambah beliau. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Gempa Bumi Sederhana Landa Indonesia

Artikel Berikut

PM Baru Libya Hadapi Cabaran Besar

Artikel Berkaitan

default image

Obama Gesa Penyapaduan Serantau Lancar

Klik

default image

TVET ada potensi besar untuk kerjaya masa depan, ini lepasan SPM perlu tahu untuk jadi graduan ‘terhangat di pasaran’

HEBAT calon-calon SPM tahun 2019 apabila pencapaian mereka lebih baik berbanding tahun sebelumnya.

default image

Covid-19: Seminar Dr Azizan diteruskan secara online, tapi auranya ‘fuhhh’ macam buat dalam dewan besar - “Kami tak nak tangguh kejayaan anda”

PENULARAN wabak Covid-19 semakin meruncing berikutan peningkatan mendadak jumlah kes jangkitan virus itu di Malaysia.

Artikel Lain