suria

Jual Yamaha LC5 demi sokong Harimau Malaya di Qatar… Tangisan lelaki rambut perang curi tumpuan!

Pengorbanan penyokong Harimau Malaya untuk ke Doha, Qatar membuatkan ramai kagum.

DALAM sukan, sorakan penyokong yang bergema di stadium mampu melonjakkan moral atlet atau pasukan untuk menundukkan lawan ketika perlawanan genting.

Sudah menjadi asam garam dunia bola sepak untuk penyokong berkorban wang ringgit bagi bersama pasukan walaupun perlawanan mengambil tempat di luar negara.

Terbaharu seorang penyokong yang dikenali sebagai Derrick Gan menjadi tumpuan ramai kerana sanggup membuat pengorbanan besar untuk menyaksikan perjuangan skuad negara di Doha, Qatar dalam saingan Piala Asia 2023.

Derrick Gan (kanan) bersama adiknya di Stadium Al Janoub.

Lebih meninggalkan memori indah ialah aksi Derrick yang berambut perang menjerit sambil menangis kegembiraan di Stadium Al Janoub malam tadi sempat dirakam menerusi siaran langsung hingga mencuri tumpuan seluruh dunia.

Detik bersejarah Harimau Malaya berjaya mengikat gergasi Asia, Korea Selatan dengan jaringan tiga sama dilihat cukup bermakna buat Derrick dan rakyat Malaysia.

Menariknya, demi menampung kos perjalanan ke Doha, Derrick dikatakan sanggup menjual motosikal Yamaha jenis LC5 Speed dengan harga permulaan RM4,500.

ARTIKEL BERKAITAN: Sepakan akhir penyelamat, Harimau Malaya ikat Korea Selatan 3-3

Melalui satu hantaran di Facebook, Derrick berkata ia adalah motosikal kesayangan adiknya tetapi sanggup dilepaskan kerana mahu memenuhi impian untuk melihat dengan mata sendiri pasukan negara bermain di Piala Asia 2023.

"Mencari dana ke Qatar! Malaysia Road to Asia! Tumpang lalu adik nak lepaskan motosikal demi negara tercinta. Kejohanan terbesar dalam sejarah Malaysia!

"Ada sesiapa sudi tolong tak? Apa-apa roger saja," tulis Derrick menerusi satu hantaran di Facebook bertarikh 28 Disember tahun lalu.

Dalam perlawanan penuh dramatik pada Khamis, Derrick bersama adiknya dan jutaan penyokong Malaysia yang lain terlopong selepas skuad kebangsaan menyajikan prestasi cemerlang walaupun sudah sah tersingkir.

Sebahagian komen warga maya.

Malaysia menduduki tangga tercorot dalam kumpulan E dengan hanya satu mata selepas tewas berturut-turut di tangan Jordan dan Bahrain sebelum bertemu Korea Selatan.

Menjengah ke platform media sosial, rata-rata warga maya kagum dengan iltizam dan tekad yang ditonjolkan Derrick demi pasukan negara.

"Kami penyokong Harimau Malaya memang respect dan sangat berbangga dengan kamu. Legend! Harap ada pihak yang boleh sponsor Derrick dan adiknya motosikal baharu.

"Tak sia-sia bro berkorban, match Korea Selatan semalam memang magis, lagi best kalau dapat tengok depan-depan. Ya, sungguh berbaloi, saya ada di sana semalam tengok live.

"Tak kisah la kita pulang awal ke, tapi dapat seri dengan Korea Selatan pun saya kira sebagai satu kemenangan dah. Gila! Dalam team mereka ada Son Heung-min kot, pemain Liga Perdana Inggeris (EPL) tu," kata warga maya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain