suria

Kemenangan Pertama Bakar Semangat Negeri Sembilan

SEREMBAN: Jurulatih Negeri Sembilan Wan Jamak Wan Hassan berharap kemenangan ke atas KL Plus pada saingan Liga Super malam tadi menjadi pembakar semangat buat anak buahnya untuk terus mempamerkan persembahan lebih cemerlang dalam perlawanan seterusnya.

Beliau turut mengingatkan para pemain agar tidak boleh leka dan menganggap saingan yang baru bermula ini sebagai alasan untuk 'berehat' kerana ia boleh mengundang padah apabila pasukan lain semakin jauh meninggalkan Negeri Sembilan.

"Pemain Negeri Sembilan tidak boleh cepat berpuas hati dengan kejayaan mengatasi KL Plus, sebaliknya mereka perlu menggandakan lagi usaha bagi mengekalkan prestasi cemerlang itu dan memastikan kemenangan berterusan," katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kemenangan pertama skuad Rusa selepas mengatasi KL Plus 2-1 pada perlawanan semalam.

Tiga perlawanan sebelum ini menyaksikan Negeri Sembilan tewas 1-2 kepada Selangor pada perlawanan sumbangsih di sini pada 9 Jan lepas, seri 1-1 menentang Johor FC di tempat lawan pada 13 Jan dan turut mencatatkan keputusan seri 0-0 dengan Kuala Lumpur di tempat lawan pada 16 Jan lepas.

Selepas empat perlawanan setakat ini, Negeri Sembilan yang merupakan juara Piala Malaysia musim lepas menduduki tempat kelapan daripada 14 pasukan dengan mengumpul lima mata.

Wan Jamak berkata beliau amat berharap pemain dapat meningkatkan lagi prestasi mereka menjelang perlawanan akan datang kerana setakat ini persembahan yang dipamerkan belum di tahap sebenar.

"Banyak kelemahan yang perlu diperbaiki namun apa yang penting pemain perlu sentiasa bersikap positif dan mengekalkan disiplin untuk menjamin lebih banyak kemenangan dicapai, sekali gus meletakkan pasukan antara pencabar terkuat Liga Super musim ini," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain