suria

Chong Wei Di Landasan Terbaik Buru Gelaran Keenam Terbuka Malaysia

KUALA LUMPUR: Masih segar dengan kejayaan merangkul gelaran sulungnya tahun ini pada Terbuka Korea yang berakhir pada Ahad, di samping ketiadaan beberapa pesaing utama, Datuk Lee Chong Wei kini berada di landasan terbaik untuk memburu kejuaraan keenamnya dalam Siri Super Badminton Terbuka Malaysia.

Chong Wei menerima suntikan semangat apabila pesaing utama yang juga pemain nombor dua dunia dari China, Lin Dan dan dua pemain perseorangan dari Indonesia, Simon Santoso dan Sony Dwi Kuncoro masing-masing di kedudukan keenam dan ketujuh dunia menarik diri daripada menyertai kejohanan itu, sebelas jam sebelum pusingan kelayakan bermula esok.

Penarikan diri pemain-pemain ternama mungkin menyebabkan kejohanan itu menjadi hambar tetapi ia menjadi berita baik buat Chong Wei yang menjuarai kejohanan itu pada 2004, 2005, 2006, 2008 dan 2009.

Chong Wei, pemain pilihan pertama kejohanan akan bertemu pemain bukan pilihan dari England Ouseph Rajiv pada Rabu.

Tahun lepas, menjadi tahun paling cemerlang dalam karier 10 tahun pemenang pingat perak Sukan Olimpik itu, dengan memenangi tujuh kejohanan iaitu Terbuka Malaysia, Terbuka Swiss, Terbuka Indonesia, Grand Prix Emas Terbuka Malaysia, Grand Prix Emas Terbuka Macau, Terbuka Hong Kong dan Siri Super Master Akhir.

Selain Chong Wei, pemain perseorangan lelaki negara yang akan beraksi pada Terbuka Malaysia ialah Sairul Amar Ayob, Lee Tsuen Seng, Daren Liew, Tan Chun Seang, Kuan Beng Hong, Chan Kwong Beng, Wong Beryno Jiann dan Chong Wei Feng.

Dalam acara beregu lelaki, pasangan nombor satu dunia, Koo Kien Keat dan Tan Boon Heong bertemu pasangan bukan pilihan dari Indonesia Yonathan Suryatama Dasuki dan Rian Sukmawan pada pusingan pertama, pada Rabu.

Cabaran beregu negara turut dipikul empat lagi pasangan iaitu Choong Tan Fook/Lee Wan Wah, Mohd Zakry Abdul Latif/Mohd Fairuzizuan Mohd Tazari, Gan Teik Chai/Tan Bin Shen, dan Chan Peng Soon/Lim Khim Wah.

Bagi acara perseorangan wanita, sandaran diletakkan ke bahu Wong Mew Choo, Lydia Cheah, Julia Wong dan Anita Raj Kaur, manakala beregu utama wanita negara Chin Eei Hui dan Wong Pei Tty yang diletakkan sebagai pemain pilihan kelima memikul sandaran negara. - BERNAMA

Artikel Lain