suria

Sukma: Shabery sedia bincang senaraikan bola tampar

KEMAMAN: Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek menyatakan kesediaannya untuk berjumpa dengan Persatuan Bola Tampar Malaysia (Mava) bagi membincangkan permohonan persatuan itu untuk menyenaraikan sukan berkenaan dalam Sukan Malaysia (SUKMA) ke-13 di Melaka, tahun depan. Beliau berkata, pihak Kementerian sendiri tiada halangan sekiranya tuan rumah, Melaka bersedia menganjurkan sukan itu. "Sebelum ini saya sendiri telah berjumpa dengan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam untuk berbincang soal ini dan dan beliau menyatakan kesediaan untuk menyenaraikan sukan itu.

"Jadi saya minta Mava serahkan kertas cadangan secepat mungkin bagi membolehkan kementerian mengambil tindakan lanjut.

Tetapi yang paling penting sekurangkurangnya lapan negeri haruslah bersedia untuk mengambil bahagian dalam sukan itu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama ketika ditemui di majlis rumah terbuka Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Mohamed Awang Tera di sini hari ini.

Ahamd Shabery berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Naib Presiden Mava Mohd Nasir Yusof yang bimbang sukan bola tampar akan terus dilupakan sekiranya sukan itu diketepikan dari penganjuran Sukma tahun depan.

Nasir yang juga Presiden Persatuan Bola Tampar Negeri Terengganu (Tava) berkata, Mava telah mengadakan perjumpaan dengan persatuanpersatuan bola tampar negeri dan bersepakat untuk menemui menteri bagi membincangkan tentang perkara itu.

Temasya sukan dwitahunan itu akan berlangsung dari 28 Mei hingga 6 Jun tahun depan di mana setakat ini sebanyak 25 acara sukan akan dipertandingkan, termasuk 18 acara wajib dan tujuh pilihan. Acara pilihan ialah bola jaring, bola keranjang, ekuestrian, tinju, ping pong, silambam dan petanque. BERNAMA

Artikel Berikut

JADUAL LIGA PERDANA INGGERIS

Artikel Lain