suria

Pembabtitan dalam F1 bawa lembaran baru sukan permotoran Malaysia

SINGAPURA: Rakyat Malaysia harus melihat penyertaan pasukan F1 1Malaysia pada musim F1 2010 sebagai sesuatu yang harus dibangga dan diraikan, kata Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata seluruh negara seharusnya menyambut baik kemunculan pasukan Lotus F1 itu tahun depan kerana ia akan membawa sukan permotoran Malaysia ke satu tahap yang baru, semasa negara benarbenar memerlukannya.

"Sukan permotoran, terutama lumba F1 bukan sesuatu yang mudah. Ia memerlukan semangat, tekad dan kemahiran teknikal bagi mewujudkan satu pasukan untuk bersaing di tahap tertinggi.

"Tekad Malaysia untuk menyertai perlumbaan itu membuktikan segalanya," katanya ketika ditemui di luar perlumbaan F1 Singapura GP di litar Marina Bay di sini hari ini.

Katanya perlumbaan F1 bukan sahaja hanya berkisar mengenai soal wang, kemenangan dan kegemilangan, tapi lebih kepada aspek semangat dan tekad, di samping pelaburan jangka panjang.

"Saya masih ingat semasa mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hendak membina jambatan Pulau Pinang kirakira 20 tahun lalu, ada yang kata ia tidak 'viable', tapi sekarang jambatan kedua pula hendak dibina. Jadi tidak mustahil satu hari nanti mungkin akan muncul dua pasukan F1 dari Malaysia," katanya.

Ahmad Shabery berkata, begitu juga dengan keputusan Malaysia membina litar Sepang dan berusaha menjadi tuan rumah perlumbaan F1 kirakira 10 tahun lalu, kerana ketika ini banyak negara Asia lain pula membida untuknya.

"Contoh terbaik ialah Singapura, saya rasa mereka kini sedar manfaat perlumbaan F1 dan mereka sanggup berbelanja banyak untuknya," katanya.

Pasukan Lotus Malaysia yang menggunakan enjin Cosworth, akan membuat kemunculan pertama tahun depan dengan Datuk Seri Tony Fernandes sebagai peneraju utama pasukan, dan bekas peneraju Team Toyota, Mike Gascoyne sebagai ketua pegawai teknikal.

Pasukan itu bagaimanapun masih belum menamakan pemandu mereka, dan Ahmad Shabery berkata baginya siapa yang akan menjadi pemandu pasukan itu bukan soal utama.

"Saya tidak kisah siapa sahaja yang dipilih, walaupun pemandu itu bukan rakyat Malaysia. Pada pandangan saya siapa sahaja yang dipilih, malah jika ia Fernando Alonso, dan jika dia sanggup menyertai pasukan ini, ia menunjukkan bahawa mereka yakin dengan produk Malaysia, dan itu yang paling utama," kata Ahmad Shabery. BERNAMA

Artikel Lain