suria

Bryan Robson jurulatih pasukan kebangsaan Thailand

BANGKOK: Bekas kapten England dan Manchester United Bryan Robson dilantik sebagai jurulatih baru pasukan kebangsaan Thai, dengan matlamat membawa negara itu ke Sukan Olimpik 2012 di tanah air beliau.

Presiden Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT) Worawi Makudi berkata Robson, 52, telah juga diberi tugas membimbing pasukan itu dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia 2014, serta kelayakan Piala Asia 2011 dan 2014.

"Beliau (Robson) akan datang kembali pada 15 Okt untuk mengambil alih pasukan," kata Worawi kepada sekumpulan pemberita yang menjangka dapat menemui bekas bintang bola sepak itu untuk menandatangani perjanjian semalam.

Robson tiba di ibu negara Thai Selasa lepas untuk membincangkan dengan FA Thai mengenai tugas barunya, di mana beliau akan mengambil alih daripada Peter Reid, yang meninggalkan pasukan itu tergesa-gesa untuk pulang ke England bagi menjadi penolong pengurus di Stoke City Liga Premier selepas hanya setahun di sini.

Worawi berkata Robson akan ditawarkan kontrak sebagaimana dinikmati Reid, yang menerima sejuta paun setahun.

"Robson cukup gembira menerima jawatan ini. Beliau akan berada di sini selama 10 bulan setiap tahun," kata Worawi, yang juga anggota lembaga eksekutif Fifa.

Tugasnya yang pertama ialah membimbing pasukan itu dalam jadual perlawanan kelayakan Piala Asia menentang Singapura pada November, kata Worawi.

Beliau dijangka dibantu oleh bekas jurulatih Perak Steve Darby, yang juga mengendali Bawah 23 yang membuat persiapan untuk Sukan SEA di Laos pada Disember. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain