suria

Pengiat sukan bola sepak sokong FAM swstakan Liga Malaysia

KUALA TERENGGANU: Cadangan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk menswastakan Liga Malaysia (LM) disambut baik dan disokong pendokong bola sepak di negeri ini.

Mereka menyifatkan cadangan FAM itu bukan sahaja sebagai pandangan jauh, tetapi juga akan menjamin kecemerlangan masa depan sukan nombor satu negara itu.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Terengganu Datuk Rahin Mohd Said berkata cadangan FAM untuk menswastakan LM itu sangat praktikal.

"Saya mengalu-alukan dan berharap cadangan itu tidak tinggal begitu sahaja," kata Rahin, yang juga pengurus pasukan T'Team, kepada Bernama.

Akhbar hari ini melaporkan Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Azzuddin Ahmad sebagai berkata FAM mungkin menswastakan Liga Malaysia menjelang musim 2011 jika pelbagai masalah masih lagi membelenggu perjalanan liga pada saingan tahun depan.

Menurut beliau antara masalah terbabit adalah kewangan seperti pembayaran gaji pemain dan pegawai, kemerosotan kualiti permainan dan kurang sambutan daripada penonton.

Pengurus pasukan Piala Presiden Terengganu Abdullah Salleh berkata beliau menyokong cadangan FAM itu atas dasar cintakan sukan popular itu.

Sambil mengalu-alukan cadangan berkenaan, beliau berkata sambutan penonton kepada Liga Malaysia sudah tidak begitu menggalakkan, mungkin disebabkan mereka kecewa dengan mutu pasukan.

"Namun begitu, mutu persembahan pasukan sudah tentu meningkat apabila Liga Malaysia diswastakan nanti," katanya.

Abdullah berkata sumber kewangan untuk pengurusan pasukan seperti Terengganu banyak bergantung kepada kerajaan negeri. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain