suria

Isteri Rexy, jurulatih badminton cedera diragut, suspek ditahan

KUALA LUMPUR: Isteri kepada Ketua Jurulatih Beregu Badminton Malaysia, Rexy Mainaky cedera di tangan kiri setelah terseret dalam kejadian ragut oleh dua lelaki di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Cheras, ACP Ahmad Amir Mohd. Hashim berkata, kejadian kira-kira pukul 11 malam itu berlaku ketika Rexy dan isterinya, Henny dalam perjalanan ke kereta selepas keluar dari sebuah restoran di Ampang City.

Mereka tiba-tiba didatangi dua suspek yang menaiki sebuah motosikal lalu meragut beg tangan Henny sehingga berlaku pergelutan menyebabkan isterinya itu terseret dan mengalami kecederaan di tangan kiri, katanya kepada Bernama hari ini.

Rexy kemudiannya mengejar suspek dan berjaya melanggar motosikal yang dinaiki suspek menyebabkan pemboncengnya jatuh dan orang awam yang melihat kejadian itu terus menahannya, manakala seorang lagi melarikan diri, katanya.

Beliau berkata, siasatan polis mendapati suspek itu mempunyai enam rekod jenayah berkaitan kes cabul, dadah dan Akta Kediaman Terhad.

"Suspek berusia 33 tahun itu kini ditahan reman selama empat hari sehingga Selasa depan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan kerana cubaan samun," katanya.

Polis kini memburu seorang lagi suspek berusia 40 tahun yang telah dikenal pasti.

Henny yang mengalami cedera ringan kini dirawat di Pusat Perubatan Gleneagles Ampang, katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain