suria

Selangor rampas takhta Liga Super dari Perlis

KUALA LUMPUR: Selangor merampas taktha Liga Super daripada Perlis apabila berjaya menewaskan Kedah 3-1 pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Shah Alam malam tadi.

Tuan rumah bagaimanapun tersentak dengan gol awal apabila Kedah terlebih dahulu menjaringkan gol pada minit ke-45 melalui Ahmad Fauzi Shaari untuk keputusan 1-0 pada separuh masa pertama.

Namun sebaik bersambung babak kedua, Selangor terus melancarkan serangan bertali arus untuk menjaringkan gol penyamaan yang akhirnya berhasil pada minit ke-55 menerusi percubaan luar kotak penalti oleh ketua pasukan Mohd Amri Yahyah.

Skuad bimbingan K.Devan itu terus mempamerkan kebangkitan dan berjaya menjaringkan gol kedua menerusi Rudie Ramli pada minit ke-62 manakala Mohd Amirulhadi Zainal melengkapkan kemenangan mereka dengan gol ketiga pada minit ke-87.

Keputusan ini membolehkan Selangor mengumpul 40 mata sekaligus merampas taktha Liga Super daripada Perlis yang kini mengumpul 38 mata setelah tewas kepada Terengganu di Stadium Utama, Kangar.

Satu gol masing-masing melalui Mohd Ashaari Shamsuddin dan Abdul Manaf Mamat pada minit ke-26 dan 90 membolehkan Terengganu pulang dengan keputusan 2-0 untuk meraih tiga mata penuh.

Negeri Sembilan pula merampas tempat ketiga daripada Kedah untuk mengumpul 33 mata apabila menewaskan Pulau Pinang 5-1 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

Seperti Negeri Sembilan, Johor FC turut mencatatkan kemenangan selesa apabila menewaskan Pahang 4-0 melalui jaringan Mohd Saifuddin Riduan pada minit ke-23, Eddy Helmi Abdul Manan (29), Wan Rohaimi Wan Ismail (39) dan Nor Azlan Roya pada minit ke-51.

Naib juara Piala FA Kelantan pula terus dirundum malang apabila tewas 2-0 kepada pasukan KL Plus di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

KL Plus mendahului pada minit ke-38 apabila percubaan S.Sumindran di luar kotak penalti menewaskan penjaga gol Kelantan, Mohd Shahrizan Ismail sebelum Mohd Fadzli Saari menjaringkan gol kedua pada minit ke-67.

Pasukan yang berpengkalan di Gurun, Kedah iaitu Kuala Muda Naza sedikit mengubat kekalahan pasukan negeri itu apabila menewaskan Perak 3-1 di Stadium Darulaman, Alor Setar.

Bekas penyerang kebangsaan, Mohd Akmal Rizal Ahmad Rakhli membuka jaringan seawal minit kedua sebelum Faderin Kadir menambah gol kedua pada minit ke-71.

Mohd Anuar Jusoh menjaringkan gol ketiga pada minit ke-78 manakala gol saguhati Perak diperoleh melalui Mohd Sufi Saadi pada minit ke-29. BERNAMA

Artikel Lain