suria

Zul Ariffin tidak berkira promosi lakonan secara percuma di laman sosial “Ia tanggungjawab sebagai pelakon”

Bagi Zul, promosi drama dan filem lakonannya merupakan tanggungjawabnya sebagai pelakon.

PELAKON Zul Ariffin memberitahu dia tidak pernah meletakkan harga untuk mempromosikan drama atau filem lakonannya di laman sosial peribadi.

Bagi Zul atau nama sebenarnya Zulkifli Ariffin, 33, ia adalah tanggungjawab sebagai pelakon untuk menarik lebih ramai peminat menonton lakonannya.

"Saya tak pernah berkira apabila pihak produksi atau stesen televisyen minta promosikan drama atau filem lakonan saya di laman sosial.

ARTIKEL BERKAITAN: “Kami pun cari makan”- Sharifah Sakinah kecewa stesen TV minta promosi percuma di media sosial

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya minta maaf” - Zul Ariffin dikejarkan ke hospital ketika tayangan ‘Misteri Dilaila’ di Jakarta

"Sebab saya anggap ia tanggungjawab saya juga sebagai pelakon utama dalam drama dan filem tersebut untuk menarik lagi peminat untuk menonton.

Zul tiada masalah promosi drama dan filem lakonannya di laman Instagramnya.

"Bagi saya bila kita 'give and take', produksi dan stesen TV pun seronok nak panggil kita lagi. Jadi, saya memang tak ada masalah kalau nak minta tolong promosi.

"Lagipun sekarang ni dah ada laman sosial untuk memudahkan kita promosi hasil kerja sendiri. Bila drama dan filem itu dapat perhatian, kita juga yang rasa puas hati," kata Zul kepada mStar.

Zul ditemui ketika majlis pelancaran filem Sangkar di Battle Arena, Jaya Shopping Centre, Petaling Jaya pada Selasa.

Sebelum ini, pelakon Sharifah Sakinah pernah meluahkan rasa kecewa terhadap stesen televisyen yang mengharapkan setiap pelakon membuat promosi drama atau filem secara percuma di laman Instagram.

Menurut Sakinah, tindakan tersebut seolah-olah menindas anak seni malah dianggap tidak adil memandangkan ia sebahagian daripada sumber rezeki mereka.

Dalam pada itu, berkongsi mengenai pengalaman sepanjang penggambaran filem Sangkar, Zul memberitahu dia ada mengalami beberapa kecederaan namun menganggap ia perkara biasa apabila berlakon dalam sebuah filem aksi.

Salah satu babak Zul berlawan dengan atlet peninju, Mcsweeney dalam filem Sangkar.

Menurut Zul, dia dan barisan pelakon lain perlu memberikan yang terbaik supaya aksi mereka dalam setiap babak nampak cantik.

"Memang ada beberapa kecederaan berlaku tapi bila kita berlakon dalam filem yang mempunyai babak aksi berlawan ini memang dah kena bersedia untuk semua itu.

"Kecederaan itu pun biasa sahaja dan selagi tidak teruk sampai kena hantar hospital, bagi saya okey saja. Lagipun kami dikelilingi orang yang mahir dalam aksi berlawan, jadi tahu langkah berjaga-jaga.

"Saya dan barisan pelakon lain nak beri yang terbaik sebab tak nak nampak syok sendiri. Biar dalam kamera aksi itu nampak cantik dan 'real' sebab tu kena buat betul-betul," ujarnya.

Filem Melayu pertama yang menampilkan Mixed Martial Arts (MMA) ini bakal ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia, Brunei dan Singapura bermula pada 29 Ogos depan.

Filem arahan pengarah Kabir Bhatia ini turut dibintangi Remy Ishak, Mira Filzah, Fadlan Hazim dan atlet peninju profesional MMA sebenar iaitu James "Sledgehammer" Mcsweeney serta Saiful Merican, Rashid Salleh, Peter Hugh Davis dan Terry Gallyot.

Zul Ariffin, Sangkar

Artikel Lain