Firma Taiwan Akui Malaysia Sebagai Perintis Industri Panel Solar

Diterbitkan: Isnin, 20 Jun 2016 1:15 PM

(Ubah saiz teks)

NEW YORK: Sebuah syarikat panel solar Taiwan, mengiktiraf Malaysia sebagai peneraju dalam sektor panel solar, dan telah menyuarakan minatnya untuk menjalin kerjasama dengan rakan yang boleh dipercayai di Malaysia.

Motech Industries Inc, yang beroperasi di Tainan City, yang memulakan operasi pada 1981 sebagai pengeluar dan pembangun peralatan pengukuran dan pengujian, berkembang menjadi syarikat perkhidmatan penuh solar global.

Syarikat itu mempunyai operasi penyelidikan dan pembangunannya sendiri serta kemudahan pengeluaran bagi produk dan perkhidmatan solar, yang terdiri daripada fotovoltan (PV), wafer silikon, sel-sel PV dan modul PV untuk sistem kuasa PV.

Syarikat itu, yang mempunyai pendapatan tahunan US$756 juta pada 2015, dan mendakwa sebagai pembuat sel PV terbesar di dunia dengan kapasiti pengeluaran 3.3 Gigawatt (GW), mengekalkan hubungan perdagangan dengan pengeluar panel solar Malaysia walaupun rakyat Malaysia tidak membuat sel-sel solar yang diperlukan untuk produk akhir panel solar.

"Malaysia merupakan tapak yang kukuh dan pesat membangun untuk syarikat-syarikat antarabangsa yang mengendalikan panel solar, menghasilkan beberapa komponen panel solar selain mempunyai kemudahan pengeluaran kecil untuk sel-sel solar.

"Malaysia mengimport sel solar dari Taiwan dan China, yang merupakan pengeluar sel solar terbesar. Permintaan untuk panel solar sangat tinggi.

Bingkai aluminium dan kaca juga diperlukan, yang ada antaranya boleh diperoleh di Malaysia.

"Di Malaysia, panel solar kebanyakannya dipasang walaupun negara ini secara beransur-ansur beralih kepada penghasilan sepenuhnya produk berkenaan.

"Malaysia, hasil daripada penglibatan awal dalam perniagaan panel solar, telah menjadi rakan penting dalam rantaian nilai dan bekalan solar," kata Peng Heng Chang, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Motech dalam temu bual dengan Bernama di New York pada Jumaat.

Chang berkata pasaran utama syarikat itu ialah Amerika Syarikat, China, Jepun, Eropah, India dan Asia Tenggara.

"Pasaran Asia Tenggara, terutama Indonesia dan Malaysia, sangat menggalakkan bagi kami. Permintaan serantau semakin meningkat. Kami belum mempunyai usaha sama dengan rakan Malaysia setakat ini, namun kita terbuka untuk menjalin sebarang bentuk kerjasama dengan syarikat tempatan (Malaysia).

"Kami sudah menjalin kerjasama dengan rakan kongsi di Indonesia, dan akan menimbangkan kerjasama dengan rakan kongsi Malaysia. Dua lagi syarikat besar Taiwan telah menjalin usaha sama dengan rakan kongsi masing-masing di Malaysia.

"Ya, kami juga berminat untuk bekerjasama dengan syarikat Malaysia, kami  berminat mencari rakan kongsi yang baik dan boleh dipercayai," kata Chang.

Chang berkata bekalan global panel solar berjumlah 90GW, dengan permintaan kira-kira 70GW.

"Bagaimanapun, kebanyakan loji panel solar sudah lama dan perlu dinaik taraf, dimodenkan atau diganti, sekali gus akan menjana permintaan," kata Chang.

Beliau berkata pembekal dari Barat mempunyai kelebihan mereka yang tersendiri dalam membekalkan peralatan yang diperlukan untuk mengeluar produk-produk ini, manakala Asia Tenggara, termasuk Malaysia, memiliki tenaga kerja mahir dan berkos efektif.

"Saya dapati permintaan untuk sel-sel solar di Malaysia dan Indonesia semakin meningkat. Panel solar menjadi semakin menarik, khususnya bagi pulau-pulau kecil di Malaysia dan Indonesia.

"Panel solar ini sesuai untuk pulau-pulau yang terpisah antara satu sama lain," katanya.

Industri panel solar di Malaysia, kata Chang menarik hasil kehebatan perintis yang dimiliki syarikat-syarikat Malaysia yang bekerjasama rapat dengan institusi penyelidikan negara.

"Secara khususnya, tahap inovasi dan teknologi di Malaysia sangat tinggi, walaupun tumpuan Malaysia setakat ini hanya pada pemasangan. Namun keadaan sudah berubah dan Malaysia kini mengeluarkan sendiri sel-sel solar untuk panel.

"Sinergi yang terhasil daripada kerjasama antara syarikat Taiwan dan Malaysia boleh memberi manfaat kepada kedua-dua pihak, memandangkan asas kukuh Malaysia dalam bidang elektronik dan semi konduktor, dan Taiwan yang mempunyai  pakar-pakar industri.

"Gabungan ini boleh membina asas yang kukuh untuk perkongsian dalam perniagaan panel solar," kata Chang yang merupakan sebahagian daripada anggota delegasi perniagaan dan perdagangan Taiwan yang diketuai Kuo-Hsin Liang, Pengerusi Majlis Pembangunan Perdagangan Luar Taiwan, agensi yang mempromosi perdagangan republik kepulauan itu.

Delegasi itu yang turut melawat Washington DC untuk menyertai Sidang Kemuncak Pelaburan anjuran Jabatan Perdagangan Amerika Syarikat, turut disertai tokoh dari Aaeon Technology, Aerospace Industrial Development Corp, Fair Kawan Group, Formosa Plastics Group, Garment Formostar Co, Kenda Rubber Industrial Co, Kinpo Electronics Inc dan Tex-Ray Industrial Co.

Pegawai tinggi dari Biro Perdagangan Luar Negeri di Kementerian Hal Ehwal Ekonomi Taiwan turut serta dalam lawatan itu.-- Bernama

Tags / Kata Kunci: panel solar , Tainan City

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan