suria

CIMB, Lazada Jalin Perkongsian Sokong Perluas PKS Malaysia

KUALA LUMPUR: CIMB Bank Bhd dan Lazada Malaysia (Lazada) memeterai perjanjian perkongsian bagi membolehkan peniaga Lazada memohon pinjaman perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Mengikut perjanjian itu, bank tersebut menawarkan Pinjaman Bersih Perusahaan (ECL) CIMB Bank kepada peniaga Lazada untuk menyokong perluasan PKS Malaysia.

"Ia adalah usaha bersama antara CIMB Bank, dan Lazada yang merupakan portal jualan dan beli-belah dalam talian, untuk menyediakan penyelesaian holistik dan meningkatkan kemudahan bagi mengupayakan PKS tempatan mengembangkan perniagaan mereka.

"ECL khusus ini merupakan pembiayaan tanpa cagaran dengan kadar faedah yang kompetitif, menawarkan pembiayaan sehingga RM300,000 bagi setiap syarikat dengan tempoh pinjaman sehingga lima tahun," menurut kedua-duanya dalam satu kenyataan bersama.

CIMB Bank merupakan cabang perbankan pengguna CIMB Group, menawarkan perkhidmatan perbankan runcit dan komersial.

Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Group, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berkata kerjasama itu adalah satu lagi usaha untuk memenuhi perubahan dan perkembangan keperluan digital pelanggan, terutama bagi platform e-dagang.

"Selain menyumbang kepada pembangunan sektor PKS Malaysia, yang dijangka mencatat 41 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar negara menjelang 2020, kami turut membolehkan lebih ramai peniaga menggunakan perbankan digital.

"Ini bukan hanya dari segi perspektif jualan runcit, malah juga dari segi pembiayaan perniagaan mereka dan menggunakan peluang penasihat perniagaan kami untuk operasi peniaga melalui tawaran digital seperti 'Clicks/BizChannel', 'Plug n Pay' dan 'C@W'," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Lazada Malaysia, Hans-Peter Ressel berkata dengan kira-kira 12,000 penjual di portal itu, kerjasama tersebut menjadi bukti kukuh untuk membantu peniaga dalam talian berjaya.

"Perkongsian dengan CIMB Bank mengesahkan pilihan strategik Lazada telah membina ekosistem e-dagang di Malaysia.

"Ia akan membawa sinergi penting melalui penawaran pilihan kepada peniaga Lazada untuk meningkatkan perniagaan dalam talian mereka di samping memberi pilihan, kemudahan dan nilai terbaik kepada pelanggan masing-masing," katanya.

PKS yang berminat memohon ECL atau sebarang penyelesaian pembiayaan perniagaan CIMB Bank boleh menghubungi CIMB Bank di 03-2619 1463 atau layari www.cimbbank.com untuk maklumat lanjut.

CIMB, Lazada

Artikel Lain