MOA Umum Harga Lantai Lima Jenis Buah-Buahan Tempatan

Diterbitkan: Sabtu, 4 Julai 2015 3:37 PM

Gambar Hiasan.

(Ubah saiz teks)

JERANTUT: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) menetapkan harga lantai bagi lima jenis buah-buahan tempatan bermusim bagi mengatasi masalah kerugian kepada pengusaha akibat lambakan buah-buahan berkenaan di pasaran.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bagaimanapun, harga lantai berkenaan hanya terpakai kepada pengusaha buah-buahan yang menjual kepada pihak Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama).

"Macam saya umum sebelum ini harga lantai bagi buah-buahan yang terlibat akan diumumkan tahun depan tapi sebab nak pastikan harga buah-buahan tempatan tahun ini stabil maka kita umum harga lantai hari ini.

"Harga lantai bagi lima jenis buah-buahan yang terlibat (bagi setiap kilogram) ialah durian D24 yang dijual dengan harga RM1.80 sekilogram, durian kampung RM1, rambutan (anak sekolah, seli, gula batu) RM1, manggis RM1.50, cempedak kampung RM1, dokong RM1 dan duku langsat RM1," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Pelan Pemasaran Buah-buahan bermusim di Pejabat Fama Jerantut, dekat sini, Sabtu. Turut hadir Ketua Pengarah Fama, Datuk Ahmad Ishak, Pengarah Fama Negeri Ibrahim Mahmood, Anggota Parlimen Jerantut Datuk Ahmad Nazlan Idris dan Anggota Parlimen Lipis Datuk Abdul Rahman Mohamad.

Ismail Sabri berkata harga berkenaan boleh dijadikan sebagai garis panduan kepada pengusaha buah-buahan yang lain jika mereka ingin menjual kepada pihak selain Fama.

Selain itu katanya, penetapan harga lantai itu membantu petani dengan memastikan harga buah-buahan tidak jatuh terlalu rendah sehingga merugikan petani.

"Jadi, kalau ada pembeli-pembeli buah seperti durian yang membeli dengan harga lebih rendah eloklah penjual datang kepada Fama sebab kita tidak boleh membeli dengan harga yang kurang daripada harga lantai," katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata Fama pada tahun ini menyasarkan pembelian buah-buahan bermusim sebanyak 10,000 tan metrik bernilai RM17.5 juta menerusi 198 pusat belian di seluruh negara.

Katanya, pembelian itu berdasarkan permintaan pasaran domestik dan luar negara terhadap buah-buahan yang meningkat pada tahun ini.

"Berdasarkan kepada analisis trend terkini, permintaan isi rumah terhadap lima jenis buah-buahan itu pada tahun ini sebanyak 411,909 tan metrik, iaitu meningkat pada kadar 1.3 peratus berbanding tahun 2014 iaitu hanya 406,623 tan metrik.

"Kuantiti keseluruhan eksport buah-buahan tempatan pada tahun ini dijangka berjumlah 33,358.78 tan metrik iaitu meningkat sebanyak 1.3 peratus berbanding tahun lepas iaitu 32,930.68 tan metrik. Ia dijangka menyumbang nilai jualan sebanyak RM70.66 juta," katanya.

Katanya, daripada jumlah itu komoditi durian akan menjadi keutamaan kepada belian Fama yang mana sebanyak 6,620 tan metrik dengan nilai RM12 juta disasarkan bagi tahun ini diikuti komoditi rambutan sebanyak 1,520 tan metrik.

Sementara itu, beliau berkata, bagi memastikan pasaran durian Malaysia khususnya di China terus berdaya saing, pihak Fama akan menetapkan standard piawaian khas untuk produk durian yang dipasarkan di luar negara.

Katanya, pada masa ini pihaknya sedang melakukan kajian terperinci sebelum laporan cadangan berkenaan dihantar kepada Kementerian Kuarantin Cina untuk persetujuan.-- Bernama


Tags / Kata Kunci: MOA , buah-buahan , Fama

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan