suria

OSK Property Jangka Untung, Pendapatan 2014 Lebih Tinggi

KUALA LUMPUR: OSK Property Holdings Bhd menjangkakan pertumbuhan keuntungan dan pendapatannya tahun ini lebih tinggi berbanding tahun lalu.

Pengarah Eksekutifnya, Ong Ju Xing berkata, projek kami dari dua tahun lalu akan terus menyumbang kepada pertumbuhan syarikat tahun ini.

Perolehan pemaju harta itu melonjak 75.9 peratus kepada RM55.46 juta tahun lalu daripada RM31.52 juta bagi tahun sebelumnya.

Pendapatan syarikat itu juga meningkat lebih sekali ganda kepada RM455.69 juta tahun lalu daripada RM215.60 juta sebelumnya.

"OSK Property mempunyai baki nilai pembangunan kasar berjumlah RM5 bilion bagi lima hingga tujuh tahun akan datang.

"Kami tidak semata-mata membeli tanah dan membiarkannya tanpa dimajukan. Kami beli bila kami nampak ada permintaan, kemudian lancarkan projek pembangunan dalam enam hingga 12 bulan selepas itu.

"Ini membolehkan pemaju menyiapkannya dan mulai menerima pulangan dengan lebih cepat serta membantunya mengharungi kelembapan ekonomi yang mungkin menjejaskan perniagaannya," katanya selepas menghadiri mesyuarat agung tahunan syarikat itu di sini, Isnin.

Ong berkata, OSK Property telah menyaksikan peningkatan minat dan jualan bagi projeknya sejak Mac lalu.

Katanya, OSK Property melancarkan 668 unit pangsapuri berperkhidmatan, Eclipse Residence, yang dilengkapi perabot sepenuhnya, pada hujung minggu lalu dan setakat ini sebanyak 70 peratus dijual.

Kediaman itu merupakan yang ketiga daripada lima fasa projek Pangaea, sebuah pembangunan bercampur bersepadu hak milik bebas seluas 6.5 hektar di Cyberjaya yang juga merangkumi suite 'pejabat kecil pejabat fleksibel', kedai runcit butik, pusat beli belah dan sebuah hotel butik.

Ong berkata, syarikat itu juga yakin tentang projeknya, Pangsapuri Berperkhidmatan dan Ruang Peruncitan Emira, yang komponen ruang runcitnya dijadualkan dilancarkan dalam suku ketiga tahun ini.

Difahamkan syarikat gergasi peruncitan, AEON, akan membuka sebuah pusat beli belah berhadapan dengan pembangunan itu, dan ini memberi manfaat kepada Emira. 


OSK Property, pangsapuri, keuntungan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain