suria

Mida Yakin Tarik Pelaburan Bernilai RM8 Bilion

Roeslina Abbas. Foto ZAZALI MUSA / THE STAR

JOHOR BAHRU: Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) yakin dapat menarik pelaburan bernilai RM8 bilion tahun ini daripada syarikat asing yang membuka operasi serantau masing-masing di Malaysia.

Pengarah Bahagian Penubuhan Serantau dan Pengurusan Rantaian Bekalan, Roeslina Abbas yakin mencapai sasaran KPI itu berdasarkan kedudukan geografi Malaysia di rantau ini serta kuasa beli yang tinggi selain ekonomi negara ini yang pesat berkembang.

"Pelaburan operasi serantau di Malaysia menunjukkan trajektori menaik dan kami menjangkakan pertumbuhan yang positif tahun ini.

"Pastinya kita akan memperoleh lebih banyak daripada yang disasarkan. Malah, dalam dua bulan pertama tahun ini, kami sudah memperoleh projek bernilai kira-kira RM1 bilion," katanya selepas memberi taklimat kepada pemberita mengenai Pengurusan Penubuhan Serantau dan Rangkaian Bekalan Mida di sini, Rabu.

Pada 2013, agensi kerajaan itu memperoleh RM12.2 bilion pelaburan dalam operasi serantau dalam negara, peningkatan ketara berbanding sasaran awal sebanyak RM2.5 bilion.

Roeslina berkata, perubahan dalam model perniagaan global, e-dagang dunia yang kompleks, selain pembabitan aktif Malaysia dalam pelbagai peringkat serantau dan dua hala, termasuk Perjanjian Perdagangan Bebas, akan memberi kelebihan kepada negara.

Berdasarkan latar belakang ini, Malaysia merupakan destinasi menarik untuk perniagaan global menubuhkan hab perniagaan serantau dan mengembangkan perniagaan mereka secara strategik di Asia, katanya.

Mengenai pelaburan berpotensi, beliau berkata, Mida menyasarkan pelabur dari Amerika Syarikat, Singapura dan Indonesia, selain syarikat multinasional (MNC) yang sudah membuka hab serantau, supaya memindahkan perniagaan mereka ke Malaysia.

"Syarikat perkilangan US kini memberi tumpuan ke negara Asean, oleh itu kami mahu memanfaatkan kelebihan ini. Negara berkenaan akan terus menjadi pelabur utama.

"Bagi Indonesia, negara itu kekurangan perkhidmatan rangkaian bekalan dan mereka memilih Singapura untuk melakukan pengurusan perbendaharaan dan logistik.

"Malaysia memiliki keupayaan ini dan kita boleh mempengaruhi, bukan sahaja pelabur tempatan, malah MNC yang berpangkalan di Indonesia, terutama Jepun supaya melabur di sini.

Roeslina berkata, kos menjalankan perniagaan di Malaysia juga lebih rendah daripada Singapura dan kedudukan ini akan menarik pelabur dari republik itu.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Pembangunan Perkhidmatan MIDA, Datuk Mathialakan Chelliah berkata, saingan sengit dalam kalangan negara di rantau ini dan isu tanggapan, terutama yang menganggap Singapura sebagai destinasi terbaik untuk hab serantau, merupakan antara cabaran yang dihadapi oleh MIDA.

"Kami berusaha keras (mempromosi Malaysia), namun mereka memulakannya lebih awal. Namun, kami yakin mencapai sasaran dan menarik lebih ramai pelabur.

"Kami mengukuhkan ekosistem, kita memiliki infrastruktur dan bahasa komunikasi, produk yang ditawarkan sama dan kos menjalankan perniagaan lebih rendah di Malaysia," katanya.

Artikel Lain