suria

Agong belum yakin MP raih kepercayaan majoriti, istana beri peluang ketua parti calon nama bakal PM

Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertemu dengan 222 Ahli Parlimen di Istana Negara selama dua hari bermula Selasa lalu.

YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah masih belum yakin mengenai Ahli Parlimen yang boleh meraih sokongan majoriti bagi membentuk kerajaan baharu.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan berkata, pandangan tersebut susulan sesi temubual peribadi Baginda bersama semua ahli Parlimen yang berlangsung selama dua hari bermula Selasa di Istana Negara.

"Berdasarkan proses temubual ini, Seri Paduka Baginda masih belum memperolehi keyakinan mengenai seorang Ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Baginda mendapat kepercayaan majoriti Ahli-ahli Dewan Rakyat bagi membentuk kerajaan baharu," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Sejarah tercipta! Agong ‘interview personally’ 221 MP dalam masa 2 hari sebelum putuskan PM ke-8

ARTIKEL BERKAITAN: Tiada sidang khas 2 Mac - Yang Dipertua Dewan Rakyat

Bagi mencari jalan penyelesaian, Ahmad Fadil berkata, pihak Istana Negara akan berhubung dengan ketua-ketua pimpinan parti yang mempunyai wakil dalam Dewan Rakyat bagi memberi peluang kepada mereka untuk mengemukakan pencalonan nama ahli Dewan Rakyat sebagai bakal perdana menteri.

Beliau menambah, Baginda turut berkenan dengan keputusan yang diambil oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof untuk tidak memanggil Mesyuarat Khas Dewan Rakyat pada Isnin, 2 Mac 2020. 

221 Ahli Parlimen menghadap Agong di Istana Negara selama dua hari.

"Seri Paduka Baginda seterusnya akan terus berusaha untuk mencari jalan penyelesaian selaras dengan Perlembagaan Persekutuan demi kesejahteraan rakyat dan negara yang kita cintai bersama," katanya.

Terdahulu, Mohamad Ariff dalam kenyataannya berkata, beliau menerima Surat Pemakluman Memanggil Mesyuarat Khas Dewan Rakyat yang ditandatangani Perdana Menteri Interim, Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai pihak kerajaan telah bersetuju supaya Dewan Rakyat dipanggil bermesyuarat pada Isnin, 2 Mac 2020.

"Namun demikian, saya mendapati surat berkenaan tidak menepati Peraturan Mesyuarat 11(3) oleh kerana tidak disusuli dengan pemberitahuan usul yang lengkap.

"Oleh yang demikian, saya memutuskan tiada mesyuarat khas Dewan Rakyat pada Isnin, 2 Mac 2020," katanya.

Mohamad Ariff menjelaskan bahawa mengikut Peraturan Mesyuarat 11(3), pemberitahuan dan tarikh mesyuarat akan dikeluarkan oleh beliau selaku Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Bagaimanapun katanya, setakat ini tiada notis yang dikeluarkan.

Artikel Lain