suria

PMO: Azmin jumpa Dr Mahathir, Nurul Izzah teman Wan Azizah kemas barang di pejabat TPM

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail memeluk salah seorang kakitangan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sebelum meninggalkan pejabat beliau, Selasa. -fotoBERNAMA

SITUASI penuh tanda-tanya politik tanah air berlanjutan pada Selasa selepas Tun Dr Mahathir Mohamad melepaskan jawatannya pada Isnin.

Sekitar 8 pagi ini, pemimpin-pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dilihat tiba di kediaman Dr Mahathir Mohamad di Sri Kembangan, Selangor.

ARTIKEL BERKAITAN: Ahli Parlimen berlainan parti dijangka menghadap Agong hari ini... dimulai dengan PAS

Selain presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin, timbalan presiden Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan ketua cabang wanita Datuk Seri Rina Harun turut kelihatan.

Kenderaan membawa Muhyiddin dilihat memasuki perkarangan kediaman Dr Mahathir pada 8.05 pagi, disusuli Rina dan Mukhriz.

Sekitar 9.15 pagi, Dr Mahathir dilihat meninggalkan kediamannya menerusi Pintu B, menuju ke Pejabat Perdana Menteri (PMO).

Ia disusuli Tan Sri Muhyiddin Yassin yang keluar menerusi pintu sama pada pukul 9.36 pagi.

Berikut perkembangan semasa yang berlaku di PMO, Putrajaya, Selasa:

Selepas Dr Mahathir tiba, dapat dilihat kereta membawa bekas Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail memasuki PMO pada jam 10.30 pagi.

Bekas TPM sempat melambai ke arah wartawan ketika tiba di PMO. -foto Bernama

Tidak lama kemudian Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pula kelihatan di lokasi sama, disusuli Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat memasuki Putra Perdana jam 10.40 pagi.

Dr Wan Azizah dan Nurul Izzah meninggalkan PMO jam 11.25 pagi. Bekas TPM itu sempat melambai kepada media.

Menurut laporan Malaysiakini, Nurul Izzah berkata beliau dan ibunya tidak bertemu dengan Dr Mahathir Mohamad di PMO sebaliknya hanya membantu ibunya mengemas barang di Pejabat Timbalan Perdana Menteri.

Kemudian mereka ke Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pula, juga untuk mengemas barang.

Nurul Izzah menambah ibunya mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada kakitangan yang telah berkhidmat di bawah kementeriannya.

Kenderaan yang membawa bekas Naib Presiden Umno, Hishammuddin Hussein dilihat meninggalkan PMO jam 11.39 pagi.

Datuk Seri Azmin Ali tiba jam 11.40 pagi.

Artikel Lain