suria

Tolak peletakan jawatan sebagai Pengerusi, Bersatu beri sokongan penuh Tun M kekal PM

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin antara yang turut hadir dalam mesyuarat itu. fotoBERNAMA.

PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) malam ini sebulat suara mengambil ketetapan untuk terus menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri.

Keputusan itu dicapai pada mesyuarat khas Majlis Pimpinan Tertinggi parti berkenaan yang berlangsung lebih dua jam di Menara Yayasan Selangor, Petaling Jaya pada Isnin malam.

Mengumumkan perkara itu, Setiausaha Agung Bersatu Datuk Marzuki Yahya berkata parti turut mengambil pendirian menolak surat peletakan jawatan Dr Mahathir sebagai pengerusi parti tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Bekas ahli PKR nafi jadi pengkhianat, dakwa ada pihak cuba jatuhkan Tun M

Beliau juga turut menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa ada ahli parlimen dan pimpinan parti itu yang keluar dari Bersatu.

Terdahulu, Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin mempengerusikan mesyuarat tersebut yang turut dihadiri timbalannya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Naib Presiden Datuk Abdul Rashid Ansari, Ketua Armada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Ketua Srikandi Datuk Seri Rina Mohd Harun serta ahli-ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT).

Petang tadi, Muhyiddin mengumumkan parti itu keluar dari Pakatan Harapan (PH) selepas mencapai keputusan dalam mesyuarat MPT yang diadakan semalam.

Dr Mahathir turut melepaskan kedudukan sebagai Pengerusi Bersatu selepas mengumumkan peletakan jawatannya sebagai perdana menteri.

Ditanya mengenai punca peletakan jawatan Dr Mahathir sebagai pengerusi parti itu, Marzuki hanya menjawab: "Itu saya tidak tahu, mungkin kerana peletakan jawatan beliau sebagai perdana menteri."

Ketika diajukan soalan mengenai sebab utama parti itu keluar PH, Marzuki berkata keputusan berkenaan dibuat oleh presiden parti selepas dibincangkan dalam mesyuarat MPT dan mereka akur dengan perkara tersebut.

Menjawab soalan sama ada ahli akar umbi bersetuju dengan keputusan Bersatu untuk keluar PH, beliau berkata: "Ya, itu keputusan dibuat majlis tertinggi parti sebulat suara."

Mengenai dakwaan parti itu akan bekerjasama dengan UMNO dan PAS selepas keluar PH, Marzuki berkata Bersatu masih belum membuat sebarang keputusan mengenainya.

“Itu belum kita bincang, kita serahkan kepada mereka (UMNO dan PAS) kalau mereka masih menyokong Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri, kita berterima kasih atas itu,” katanya.- BERNAMA

Artikel Lain