suria

Kekal sokong Tun M sebagai PM sampai habis penggal - Azmin dan 10 rakan

Azmin dan 10 rakan parti yang lain sudah tidak bersama PKR. -foto THE STAR

SEBELAS bekas ahli PKR termasuk Ahli Parlimen Gombak Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengulangi sokongan tidak berbelah-bahagi terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri bagi sepenuh penggal Parlimen ke-14.

Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan pada Selasa, mereka berkata perkara itu telah ditegaskan dalam mesyuarat tertutup parti dan secara terbuka.

ARTIKEL BERKAITAN: Senarai 11 ahli PKR umum keluar parti

"Tindakan yang kami ambil adalah berpaksikan aspirasi rakyat yang mahukan sebuah kerajaan yang stabil, perpaduan yang kukuh dan penumpuan kepada usaha untuk memulihkan serta menjana pertumbuhan ekonomi yang mampan.

"Ini pada keyakinan kami merupakan mandat sebenar yang telah diberikan rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-14," menurut kenyataan itu.

Dr Mahathir meletak jawatan sebagai perdana menteri pada Isnin sebelum kemudiannya dilantik sebagai perdana menteri interim.

Mohamed Azmin dan 10 ahli PKR lain yang juga Ahli Parlimen, mengisytiharkan keluar parti semalam.

Sepuluh yang lain ialah Zuraida Kamaruddin (Ampang), Datuk Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota), Baru Bian (Selangau), Datuk Kamaruddin Jaffar (Bandar Tun Razak), Datuk Mansor Othman (Nibong Tebal), Datuk Rashid Hasnon (Batu Pahat), Datuk Seri Dr Santhara Kumar (Segamat), Ali Biju (Saratok), Willie Mongin (Puncak Borneo) dan Jonathan Yasin (Ranau). -Bernama

Azmin, Tun M, sokong, perdana menteri

Artikel Sebelum

Artikel Lain