suria

Seorang lagi mangsa kemalangan di New Zealand meninggal dunia

Lokasi kemalangan di Lebuhraya Negeri 1, utara Kaikoura, New Zealand yang mengorbankan empat warganegara Malaysia.

SEORANG lagi mangsa kemalangan di Kaikoura, New Zealand disahkan meninggal dunia pada 6.30 petang waktu tempatan (1.30 tengah hari waktu Malaysia) pada Ahad.

Mangsa itu adalah Nur Irfan Adanan, 15, yang juga anak sulung kepada pasangan suami isteri, Dr Rumihati Abd Hamid, 49, dan Adanan Jemain, 49, yang maut bersama anak kedua mereka, Maisarah Arifah Adanan, 13, dalam kejadian terbabit.

Perkara itu disahkan oleh anak saudara Allahyarham Dr Rumihati, Afifah Saiffuddin, 33, yang menerima berita itu daripada ahli keluarganya yang kini berada di Hospital Christchurch, New Zealand.

ARTIKEL BERKAITAN: “Satu nahas yang amat tragis” - Saksi kemalangan libat rakyat Malaysia di New Zealand

ARTIKEL BERKAITAN: Kemalangan kereta dan trak, 3 rakyat Malaysia maut di New Zealand

“Ahli keluarga yang datang ke sana sempat bertemu arwah (Nur Irfan) sebelum dia menghembuskan nafas terakhir kerana arwah memang kritikal selepas kemalangan itu,” katanya ketika ditemui di kediaman keluarganya di Kampung Ulu Putatan, Kota Kinabalu pada Ahad.

Menurut Afifah, kesemua jenazah dijangka dikebumikan esok dan kini sedang dalam proses menunggu kebenaran untuk proses pengebumian di Christchurch.

Beliau berkata solat ghaib di sini untuk jenazah hanya akan dilakukan selepas semua urusan di New Zealand selesai.

Katanya, anak bongsu mangsa yang cedera dalam kemalangan itu, Nur Arifah, 11, mendapat rawatan di Hospital Wellington dilaporkan stabil dan kini ditemani ahli keluarga lain yang baru tiba tengah hari tadi waktu tempatan.

Jumaat lepas, tiga rakyat Malaysia dilaporkan meninggal dunia manakala dua lagi parah ketika bercuti di negara berkenaan.

Mereka sekeluarga yang menaiki kereta sewa terbabit kemalangan dengan lori di Lebuhraya Negeri 1, utara Kaikoura pada 3.10 petang waktu tempatan (10.10 pagi waktu Malaysia) - BERNAMA

Artikel Lain