suria

Kedah Umum Senarai Exco 15 Mei - Mukhriz

ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir dijangka akan mengemukakan senarai barisan exco kerajaan negeri yang baru selewat-lewatnya 15 Mei ini.

Menurut Mukhriz beliau akan membuat penilaian mengenai portfolio setiap exco sebelum mendapatkan perkenan Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tan Sri Tunku Annuar Sultan Badlishah.

"Saya telah berbincang sebentar tadi dengan Tunku bahawa saya akan mengambil sedikit masa mungkin sehingga 15 Mei untuk mencadangkan nama-nama bagi jawatan exco negeri untuk diperkenankan.

"Saya perlukan masa untuk meneliti kecekapan dan pengalaman setiap Adun (Ahli Dewan Undangan Negeri) yang bakal memegang portfolio," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas upacara mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Kedah yang ke-10 dihadapan Tunku Annuar di Istana Anak Bukit di sini.

Pemilihan Mukhriz sebagai Menteri Besar Kedah yang baru dibuat selepas Barisan Nasional (BN) berjaya membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) yang berlangsung Ahad.

BN menang dengan majoriti mudah selepas memenangi 21 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Artikel Lain