suria

Usaha Sedang Dilakukan Untuk Atasi Kekurangan Guru Bahasa Mandarin - Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Masalah kekurangan guru bahasa Mandarin di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) tidak seharusnya dipolitikkan dan Kementerian Pelajaran sedang berusaha untuk menyelesaikan perkara itu, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Saya harap perkara ini tidak dijadikan isu politik," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Jentera Pilihanraya Umno Wilayah Persekutuan di sini, Ahad.

Beliau berkata, beberapa langkah telah diambil untuk menangani kebimbangan yang dibangkitkan oleh pelbagai pihak.

Malah, kata Muhyiddin, bantahan mereka tidak harus dilihat seolah-olah kementerian tidak melakukan apa-apa untuk menyelesaikan isu yang dihadapi sekolah tersebut.

Beliau berkata demikian bagi mengulas bantahan yang dilakukan oleh Jiao Zong (Persatuan Gabungan Guru Sekolah Cina Malaysia) dan Dong Zong (Persatuan Gabungan Jawatankuasa Sekolah China) mengenai masalah kekurangan guru bahasa Mandarin di SJKC seluruh negara.

Muhyiddin berkata, Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong telah bertemu dengan kumpulan tersebut baru-baru ini untuk memahami dengan lebih jelas berhubung rungutan mereka.

"Hasil pertemuan itu akan dibentangkan kepada saya minggu depan.

"Keputusan yang akan diambil bertujuan untuk menyelesaikan masalah kekurangan guru dan turut mengambil kira keperluan sebenar mereka," kata Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran.

Artikel Lain