Lancong Tidak Sama Dengan Lancung

Diterbitkan: Selasa, 29 April 2014 6:47 PM

(Ubah saiz teks)

KATA-KATA yang dibincangkan kali ini adalah antara kata yang sering dikacaukan orang penggunaannya. Malah, ada kalangan pengguna bahasa Melayu yang tidak sedar akan wujudnya kata lancong bagi maksud "pergi melawat untuk bersenang-senang atau berehat-rehat".

Untuk maksud itu, banyak kalangan pengguna bahasa Melayu yang menggunakan kata lancung tanpa menyedari bahawa kata lancung mempunyai erti yang jauh berbeda. Oleh itu, keraplah kita temukan ayat seperti yang berikut ini:

> Rakyat Malaysia digalakkan melancung di dalam negeri.

> Peristiwa  pengeboman WTC di  New York, Amerika Syarikat telah menjejaskan sektor pelancungan di negara itu.

> Bilangan agensi pelancungan yang menyediakan pakej lawatan ke China semakin  meningkat.

> lstana Negara sentiasa menjadi tumpuan pelancung asing.

Jelas bahawa kata melancung, pelancungan, dan pelancung yang digunakan dalam keempat-empat ayat itu oleh penulis atau penuturnya adalah berkaitan dengan aktiviti pergi melawat untuk bersenang-senang.

Namun, untuk maksud itu, kata yang sepatutnya digunakan  oleh  penulis atau penuturnya ialah melancong, pelancongan dan pelancong.

Ayat-ayat itu baru betul apabila ditulis atau diungkapkan seperti yang berikut ini:

> Rakyat Malaysia digalakkan melancong di dalam negeri.

> Peristiwa pengeboman WTC di New York, Amerika Syarikat telah menjejaskan sektor pelancongan di negara itu.

> Bilangan agensi pelancongan yang menyediakan pakej lawatan ke China semakin meningkat.

> Istana Negara sentiasa menjadi tumpuan pelancong asing.

Makna kata lancong, melancong sudah dinyatakan di atas, iaitu "pergi melawat untuk bersenang-senang atau berehat-rehat".

Kata pelancongan pula mendukung makna "hal-hal tentang urusan melancong"; "perbuatan melancong"; "perjalanan untuk melancong". 

Makna kata pelancong ialah "orang yang melancong".

Jadi, apakah pula makna kata lancung yang kerap menjadi pilihan pengguna bahasa Melayu untuk maksud melancong itu?

Kamus Pelajar Terbitan Khas KBSM yang diterbitkan oleh DBP memberikan makna yang jelas untuk kata ini, iaitu "tidak tulen; tiruan; palsu" dan "tidak sungguh-sungguh; tidak jujur; curang".

Daripada kata lancung itu, terbitlah kata melancungkan, lancungan dan kelancungan.

Kata melancungkan bererti "membuat sesuatu menjadi palsu, memalsukan"; lancungan pula bermakna "barang palsu atau tiruan"; manakala kelancungan mendukung makna "keadaan atau hal palsu, kepalsuan"; "keadaan atau sifat curang, kecurangan".

Sekarang, perhatikan penggunaan kata lancung, melancungkan, lancungan dan kelancungan yang tepat dalam ayat-ayat yang berikut ini:

> Wang lancung RM50 dikatakan banyak diedarkan di negara ini.

> Pekerja yang lancung wajar dipecat daripada jawatannya.

> Selain mengedar dadah, warga asing itu terbabit dalam kegiatan melancungkan kad kredit.

> Pihak polis merampas semua pasport yang dilancungkan oleh wanita itu.

> Semua barangan yang dijadikan hadiah dalam pesta ria itu lancungan semata-mata.

> Kelancungan barang kemas yang dipakai wanita itu sukar dibuktikan.

> Drama itu mencuba menelanjangi kelancungan manusia dalam kehidupan moden ini.

Berdasarkan penjelasan tersebut serta ayat-ayat contoh yang diberikan, terbuktilah bahawa kata lancung tidak ada kaitan sama sekali dengan aktiviti pergi melawat untuk bersenang-senang. Sebaliknya, aktiviti lancung lebih banyak menimbulkan rasa tidak senang dan kesusahan kepada kita.

Sumber: Awang Sariyan, 2008, Tuntunan Bahasa: Asas Pegangan Pelajar, Edisi Kedua, Petaling Jaya; Pearson Longman.

Ruangan ini diselenggarakan dengan kerjasama DBP. 


Tags / Kata Kunci: Lancong , Lancung , DBP , Awang Sariyan

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan