suria

Di Manakah Bezanya Endah Dan Indah

DALAM bab ini, akan dibincangkan pula soal kata endah dan mengendahkan yang mendukung makna “peduli” dan “ mempedulikan”, atau “acuh”  dan “mengacuhkan”, ataupun “bena” dan “membenakan”.

Banyak orang yang terkeliru oleh ejaan kata endah dan mengendahkan ini.  Mereka mengeja, menulis, dan mengungkapkannya sebagai indah dan mengindahkan sedangkan seperti yang sedia kita ketahui, kata indah dan mengindahkan mendukung maknanya sendiri, iaitu “cantik” dan “mencantikkan”.  Golongan orang yang terkeliru ini tidak sedar bahawa ejaan untuk kata endah dan mengendahkan sebenarnya bermula dengan huruf e (disebut sebagai e taling seperti kata enak, elok, dan sebagainya).  Oleh hal yang demikian, orang yang terkeliru ini sering mengungkapkan atau menulis kata itu seperti dalam ayat yang berikut ini:

1 Tidak banyak orang yang mengambil indah akan saranan Perdana Menteri supaya berjimat cermat.

2 Haziq buat indah tak indah akan nasihat kakaknya.

3 Salah satu punca kemalangan jalan raya ialah sikap pemandu yang tidak mengindahkan peraturan jalan raya.

4 Cacian dan cemuhan orang ramai tidak diindahkan oleh penyanyi itu.

Penggunaan kata indah, mengindahkan, dan diindahkan dalam ayat-ayat di atas terbukti salah kerana seperti yang saya nyatakan indah, mengindahkan, dan diindahkan mempunyai maknanya sendiri, iaitu “cantik”, “mencantikkan”, dan “dicantikkan”. 

Oleh sebab salah, maka maksud yang timbul daripada ayat-ayat contoh di atas tentulah melucukan dan mengelirukan.  Jadi, ayat-ayat itu haruslah diucapkan atau ditulis seperti yang berikut ini:

1 Tidak banyak orang yang mengambil endah akan saranan Perdana Menteri supaya berjimat cermat.

2 Haziq buat endah tak endah akan nasihat kakaknya.

3 Salah satu punca kemalangan jalan raya ialah sikap pemandu yang tidak mengendahkan peraturan jalan raya.

4 Cacian dan cemuhan orang ramai tidak diendahkan oleh penyanyi itu.

Menerusi pemerhatian saya, belum ada kalangan pengguna bahasa yang tersilap mengeja, menulis, atau mengungkapkan kata indah (untuk makna “cantik”) serta kata-kata yang terbit daripadanya – mengindahkan, memperindah, dan keindahan.

Saya belum menemukan kesalahan seperti yang berikut ini:

1 Pemandangan di pusat peranginan itu endah sungguh.

2 Lampu berwarna-warni yang bergantungan di bandar raya Shah Alam mengendahkan pemandangan malam di bandar raya itu.

3 Untuk memperendah taman itu, bunga beraneka warna ditanam di sekelilingnya.

4 Keendahan Pulau Tioman tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.

Sebagai tambahan, penggunaan yang tepat bagi kedua-dua patah kata yang kita bicarakan ini dapat anda lihat pada ayat-ayat contoh yang berikut ini:

1 Oleh sebab tidak endah akan faktor keselamatan, kedua-dua pendayung itu mati lemas.

2 Kerana terlewat, dia berjalan pantas tanpa mengendahkan orang sekelilingnya.

3 Jangan diendahkan hasutan orang asing yang memang suka kita berpecah belah.

4 Yang baik budi, yang indah bahasa.

5 Pilihan warna yang tepat dapat mengindahkan hiasan dalaman kediaman kita.

6 Usaha memperindah Putrajaya adalah tanggungjawab Perbadanan Putrajaya Holdings Berhad.

7 Pembinaan hotel di pantai itu telah menyebabkan keindahannya tercemar.

> Ruangan ini diselenggarakan dengan kerjasama Ibu Pejabat Dewan Bahasa & Pustaka Kuala Lumpur



Tips Bahasa, kata endah, kata indah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain