suria

Jangan Tersilap Antara Dokong Dan Dukung

KATA dokong dan dukung hampir sama bunyinya.  Dalam hal ini, banyak orang yang dapat menyebut kata dokong dengan betul tetapi entah mengapa banyak pula yang tidak dapat menyebut kata dukung dan kata-kata yang terbit daripadanya dengan tepat.

Oleh itu, kita biasa mendengar dalam ucapan, pengajaran dan pemelajaran, dialog dalam lakonan, dan sebagainya kata yang berkaitan dengan dukung ini diungkapkan seperti yang berikut ini:

1 Komala mengambil sehelai kain batik untuk dijadikan kain dokong adiknya.

2 Anak monyet senantiasa berdokong pada ibunya.

3 Pelaksanaan Program Latihan Khidmat Negara mendokong hasrat kerajaan untuk melahirkan belia yang bersemangat tinggi.

4 Wanita yang mendokong anaknya itu berhenti beberapa kali untuk melepaskan lelahnya.

5 Cita-cita yang didokong oleh pertubuhan Islam itu ialah mengembalikan keamanan di Afghanistan.

6 “Letakkanlah dokongan itu di atas batu itu, Tun Mamat.”

7 Lenin dan Stalin adalah antara pendokong fahaman komunis yang penting di Rusia.

Kata dokong, berdokong, mendokong, didokong, dokongan, dan pendokong dalam ayat-ayat di atas perlu disebut sebagai dukung, berdukung, mendukung, didukung, dukungan, dan pendukung.

Hal ini demikian kerana sebutan baku bahasa Melayu menetapkan bahawa vokal 'u' mestilah diujarkan sebagai 'u' bukan 'o'.  Sementelahan memang ada kata dokong dalam bahasa Melayu yang maknanya lain sama sekali daripada makna yang didukung oleh kata dukung.

Dokong ialah “sejenis tumbuhan yang buahnya seperti langsat tetapi kulitnya lebih tebal”.  Nama saintifik tumbuhan ini ialah Lansium domesticum.

Jadi, apakah makna yang timbul daripada ayat-ayat contoh tersebut  jika kata dukung diujarkan sebagai dokong? Aneh bukan? Oleh hal yang demikian, ayat-ayat tersebut perlu diungkapkan seperti yang berikut ini:

1 Komala mengambil sehelai kain batik untuk dijadikan kain dukung adiknya.

2 Anak monyet senantiasa berdukung pada ibunya.

3 Pelaksanaan Program Latihan Khidmat Negara mendukung hasrat kerajaan untuk melahirkan belia yang bersemangat tinggi.

4 Wanita yang mendukung anaknya itu berhenti beberapa kali untuk melepaskan lelahnya.

5 Cita-cita yang didukung oleh pertubuhan Islam itu ialah mengembalikan keamanan di Afghanistan.

6 “Letakkanlah dukungan itu di atas batu itu, Tun Mamat.”

7 Lenin dan Stalin adalah antara pendukung fahaman komunis yang penting di Rusia.

Saya suka menasihati para pelajar supaya menyebut sesuatu kata dengan betul bagi melambangkan anda pengguna bahasa Melayu sejati.  Tidaklah nanti sampai anda menggunakan kain dokong untuk mengisi buah dukung!

> Ruangan ini diselenggarakan dengan kerjasama Ibu Pejabat Dewan Bahasa & Pustaka, Kuala Lumpur. 


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Cocok Dan Cucuk

Artikel Lain