Colek Dan Culik Ada Kalanya Mengelirukan

Diterbitkan: Isnin, 24 Februari 2014 7:48 PM

(Ubah saiz teks)

KEDUA-DUA patah kata ini – colek dan culik – juga ada kalanya mengelirukan pengguna bahasa Melayu.  Hal ini demikian disebabkan bentuk dan sebutan kedua-dua kata itu hampir-hampir sama.  Namun sebenarnya, maknanya lain sama sekali.

Kamus Pelajar Terbitan Khas KBSM yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka mendefinisikan kata colek (mencolek) sebagai “mencalit (mengambil, menyentuh) dengan hujung jari”; “mencecah kuah, sambal dengan sesuatu”; “mencungkil (dengan hujung jari dll untuk mengeluarkan sesuatu)”.  Malah, ada ungkapan mencolek hati yang bermaksud “menggelikan hati”.

Daripada kata colek, terbit pula kata mencolekkan yang bererti “mencalitkan sesuatu pada, memalitkan” dan “mencecahkan barang makanan pada kuahnya, sambal, dsb”. Seterusnya, kata itu juga menerbitkan kata secolek yang bererti “sebanyak yang dipalit atau disentuh dengan hujung jari dsb”.  Penggunaannya dalam ayat adalah seperti yang berikut ini:

1 Kita tidak sepatutnya mencolek makanan dengan jari yang kotor.

2 Sambil bercerita mereka mencolek kuah kacang itu dengan sate.

3 Kakak mencolek tahi telinga dengan pengorek telinga.

4 Meng Heng mencolekkan potongan timun pada sambal belacan.

5 Ibu menyuapi adik secolek madu lebah.

Untuk kata culik (menculik) pula, kamus yang sama mendefinisikannya sebagai “melarikan orang dengan paksaan untuk tujuan memperoleh wang tebusan dan sebagainya”.  Daripada kata itu, timbul kata penculikan  yang bererti “perbuatan melarikan orang dengan paksaan untuk tujuan memperoleh wang tebusan dan sebagainya” dan kata penculik yang bererti “orang yang menculik”.

Yang berikut ini ialah contoh penggunaannya dalam ayat:

1 Selepas melakukan rompakan, lanun itu menculik kapten kapal tersebut.

2 Kejadian penculikan rakyat asing semakin menjadi-jadi di Iraq.

3 Para penculik itu akan membebaskan semua tahanan mereka sekiranya tuntutan mereka dipenuhi.

Jelas bahawa kata colek dan culik berbeda maknanya dan oleh itu tidak harus salah digunakan.  Anda tidak seharusnya menuliskan atau menuturkan ayat seperti yang berikut ini:

1 Datuk Bendahara menculik kapur di dalam cembul lalu menyapunya pada sirih.

2 Keempat-empat lelaki yang mencolek anak hartawan itu mati ditembak polis.

3 Pihak tentera diarahkan berkawal 24 jam untuk mengelakkan kejadian pencolekan itu berulang lagi.

4 Ketupat yang diculikkan ibu pada rendang itu sudah basi.

5 Kesemua pencolek itu ditahan reman selama satu minggu.

Alangkah anehnya maksud ayat-ayat 1 – 5 tersebut!

Dalam ayat 1, kita berasa kasihan terhadap datuk Bendahara yang terpaksa “menculik” kapur semata-mata hendak makan sirih.  Ayat 2 pula menakutkan kita kerana perbuatan “mencolek” rupa-rupanya boleh menyebabkan seseorang kehilangan nyawa.  Ayat 3 pula menimbulkan rasa cemas di hati kita kerana perbuatan “mencolek” (pencolekan) telah menyebabkan pihak tentera terpaksa berkawal 24 jam.  Ayat 4 pula menimbulkan rasa lucu kerana ada pihak yang bersedia “menculik” ketupat. Dalam ayat 5, sekali lagi kita berasa takut kerana orang yang sekadar “mencolek” (pencolek) boleh ditahan reman selama seminggu.

Ayat tersebut tidak akan menimbulkan kekeliruan makna jika ditulis atau diungkapkan seperti yang berikut ini:

1 Datuk Bendahara mencolek kapur di dalam cembul lalu menyapunya pada sirih.

2 Keempat-empat lelaki yang menculik anak hartawan itu mati ditembak polis.

3 Pihak tentera diarahkan berkawal 24 jam untuk mengelakkan kejadian penculikan itu berulang lagi.

4 Ketupat yang dicolekkan ibu pada rendang itu sudah basi.

5 Kesemua penculik itu ditahan reman selama satu minggu.

> Ruangan ini diselenggarakan dengan kerjasama Ibu Pejabat Dewan Bahasa & Pustaka Kuala Lumpur


Tags / Kata Kunci: colek , culik , ungkapan , ayat

iklan

Video

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 10:55 PM

Abam Bocey Malu Manja Dengan Isteri Depan Kamera

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Jumaat, 8 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Awi Rafael - Kau Di Hatiku

Kolumnis

iklan

Iklan