Hormati Kepelbagaian

Diterbitkan: Rabu, 22 April 2015 9:07 PM

Zainah Anwar

(Ubah saiz teks)

KETIKA kumpulan militan IS sedang mengganas tanpa henti dan Yemen, Libya dan Syria menjunam ke dalam keadaan huru-hara, pemimpin-pemimpin Islam, sekali lagi berbincang tentang perlunya perubahan dalam cara Islam difahami serta diajar di institusi pendidikan.

Saranan terkini datangnya dari tokoh Sunni Islam iaitu Ulama Besar Al-Azhar, Sheikh Ahmed al-Tayeb.

Di dalam ucapan beliau semasa persidangan antarabangsa “Memerangi Terrorisme dalam Islam” di Mekah pada Februari lalu, beliau menyandarkan kebangkitan fahaman esktremis Islam kepada “kecenderungan ekstremis yang terhimpun sejak dahulu yang berpucuk dari penyelewengan tafsiran beberapa teks dalam Al-Quran dan Sunnah Nabi”.

Beliau menyeru supaya penuntut institusi pendidikan tidak sewenang-wenangnya menjatuhkan hukum ke atas orang Islam yang berpegang pada pendapat berbeza tentang Islam.

Beliau juga menyeru supaya para ulama Islam menumpukan perhatian kepada nilai-nilai yang dikongsi antara umat Islam yang dapat menyatu-padukan mereka.

Di dalam sidang yang sama, Raja Arab Saudi yang baharu telah dilaporkan berkata:"Terrorisme membawa kesengsaraan dan ia adalah hasil ideologi yang ektremis dan menjadi ancaman kepada negara-negara Islam dan seluruh dunia."

Apa yang diperlukan untuk membawa perubahan dalam cara Islam diajar dan difahami di institusi pendidikan bukan lagi persidangan lepas satu persidangan yang membahaskan cara menangani puak ekstremisme, terrorisme dan sikap tidak-toleransi yang melanda sebahagian besar dunia Islam.

KEAZAMAN POLITIK

Sebaliknya apa yang diperlukan di saat ini ialah keazaman politik untuk bertindak dan melakukan perubahan tersebut.

Sebagai titik tolak, pemimpin-pemimpin negara Islam mempunyai kuasa, autoriti dan pengaruh untuk menyekat khutbah, ucapan dan pengumuman oleh tokoh-tokoh agama yang berbaur fahaman ekstremisme, yang menggalakkan kebencian, serta meracuni fikiran umat Islam supaya membenci sesiapa yang berfikiran, berkelakuan, berpakaian, dan menjalani kehidupan yang berbeza dari fahaman mereka.

Pemimpin-pemimpin negara Islam boleh memulakan arus perubahan dengan menggalakkan perbahasan awam berkaitan agama dan cara agama digunakan sebagai sumber undang-undang, dasar awam serta amalan dan budaya masyarakat.

Perbezaan pendapat dalam perbahasan tersebut mestilah dihargai dan dihormati.

Di zaman ini, kita amat beruntung kerana terdapat banyak ilmiah, baru dan lama, yang sudah sedia ada dan boleh digunapakai di peringkat sekolah dan universiti.

Tiada halangan bagi para pemimpin Islam untuk memulakan arus perubahan ini dengan serta-merta sekiranya mereka serius terhadap keluhan mengenai keadaan dunia Islam yang mendesak ketika ini dan ancaman tersebut kepada para umat Islam dan juga seluruh dunia.

Cendekiawan Islam dan aktivis hak asasi wanita telah lama berganding bahu dalam memperjuangkan Islam yang menegakkan keadilan dan kesetaraan, yang menentang keganasan dan terrorisme, yang menghormati kepelbagaian dan perbezaan pendapat.

Kerja-kerja ini telah berlangsung lebih daripada 20 tahun dan bertujuan untuk membawa perubahan dari sudut ilmiah dan juga pergerakan aktivisma.

Malangnya, ini semua telah diabaikan, diketepikan, diharamkan, atau paling teruk, mereka dianiaya dan dipenjarakan. Ini semata-mata usaha mereka membawa Islam ke arah agama yang lebih berbelas-kasihan dan adil dianggap sebagai bertentangan dengan kuasa elit pemerintah yang mahu terus kekal berkuasa.

Apakah perubahan dapat berlaku jika pemerintah mengumumkan kepada dunia yang kita memerlukan perubahan, di masa yang sama mereka masih terus menindas rakyat yang bekerja ke arah membawa perubahan?

AMMAN MESSAGE

Para pemimpin yang masih belum dapat menerima dan menyesuaikan diri mereka dengan tradisi ilmu Islam yang kaya dan mengujakan serta pemikiran kontemporari juga amalan-amalan yang menonjolkan Islam yang lebih adil dan ramah, mereka seharusnya merujuk kembali kepada ‘Amman Message’ yang mereka tanda-tangani pada tahun 2006.

Secara amnya, ia mengutuk semua bentuk perlakuan ektremisme, radikal dan fanatik.

‘Amman Message’ mengandungi banyak petikan indah dari Al-Quran berkenaan dengan menghormati ikhtilaf (perbezaan pendapat) dan kepelbagaian, menyeru kepada jalan Allah dengan hikmah dan keindahan, kesederhanaan, keadilan dan tidak menghampakan kepercayaan orang lain, serta sebagainya.

‘Amman Message’ juga mengiktiraf kewujudan lapan mazhab Sunni, Syiah dan Ibadhi Islam; melarang pentakfiran sesama umat Islam, menggariskan syarat subjektif dan objektif dalam pengeluaran fatwa dan menyarankan supaya pengeluaran fatwa yang tidak sah diberhentikan.

Seramai 552 orang pemimpin politik dan agama daripada 84 buah negara telah menyokong tiga subjek utama ‘Amman Message’, di kalangannya adalah raja, presiden dan perdana menteri, ulama terkemuka Sunni dan Syiah, dan Ulama Besar al-Azhar.

Bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi, Ketua parti pembangkang Anwar Ibrahim, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dan bekas Rektor UIA Tan Sri Prof Dr Kamal Hassan adalah antara wakil dari Malaysia yang menandatangani ‘Amman Message’ tersebut.

Namun, hari ini, kita dapat lihat banyak negara yang telah menandatangani ‘Amman Message’ termasuk Malaysia, bertindak dengan keras dan tidak wajar. Mereka menganggap dan menentukan golongan Syiah dan mana-mana lagi orang Islam yang memegang fahaman yang berbeza sebagai sesat.

Ada yang menghukum dan memenjarakan mana-mana golongan yang dianggap sebagai ancaman kepada pihak yang berkuasa.

Pada masa yang sama, negara-negara ini khuatir akan kemelut ancaman terrorisme dan ekstremisme yang semakin berleluasa dan sudah mula sedar bahawa ini juga menjadi ancaman kepada pengekalan kuasa mereka.

Kajian mengenai pencegahan terrorisme mendapati bahawa walaupun tidak semua unsur fahaman ekstremisme itu akan membawa kepada terrorisme, namun, semua aktiviti terrorisme berpucuk daripada fahaman ekstremisme.

Idea dan ideologi terrorisme yang menyemaikan pertelingkahan, kebencian dan prejudis terhadap perbezaan sememangnya menyumbang kepada terrorisme. Oleh itu, ia tidak boleh dibiarkan berlegar dalam masyarakat tanpa dicabar.

BEZA PENDAPAT

Apakah maknanya bagi pemimpin dunia untuk berkumpul di Kaherah, Mekah, London dan Washington untuk membanteras terrorisme, fahaman ekstremisme atau apa jua bentuk keganasan sekiranya pemimpin yang serupa juga menindas rakyat mereka sendiri hanya kerana mempunyai pendirian dan fahaman yang berbeza daripada mereka?

Mereka yang tidak boleh menerima perbezaan pendapat mengenai bagaimana sesuatu negara itu perlu ditadbir sememangnya tidak mampu menyediakan persekitaran yang membolehkan fahaman Islam untuk berkembang dan bebas dari cengkaman pemerintahan elit.

Jika ia dianggap sebagai haram, tidak Islamik, anti-Tuhan dan anti-Syariah bagi kita menyoal pengumuman yang dibuat oleh Mufti atau Menteri Besar mengenai apa-apa kenyataan berkaitan Islam, mengapa pula kita harapkan para pengganas di Syria atau Iraq untuk menentang arahan daripada Khalifah yang mereka anggap sebagai pemimpin mereka?

Mereka yang mempunyai pemikiran bahawa apa jua arahan dan idea para pemimpin agama di Malaysia tidak boleh dipersoalkan atau dibahaskan, sememangnya tidak jauh dari pemikiran pejuang IS. Mereka semua hanya menurut arahan tanpa soal, sehinggakan sanggup memancung kepala, membakar manusia hidup-hidup serta membunuh orang Islam dan juga bukan Islam hanya kerana pemikiran dan kehidupan yang berbeza.

Tuntutan kesetiaan dan keyakinan mutlak kepada pemimpin inilah yang boleh mencetuskan kekerasan dan juga terrorisme.

Kepercayaan bahawa mereka yang bercakap di atas nama Islam tidak perlu bertanggungjawab ke atas sesiapa sekalipun akan membawa kepada sistem pemerintahan kuku besi.

Kepercayaan bahawa hanya terdapat satu fahaman Islam yang “benar” dan menuduh sesiapa sahaja yang memegang fahaman yang berbeza sebagai sesat, akan meracuni budaya masyarakat dan memupuk kebencian, ketaksuban dan kesempitan fikiran.

Soalan cepu emas di sini bukanlah sama ada Islam itu agama yang adil dan aman. Sesungguhnya, terdapat banyak ilmiah dan pengajian untuk membawa pemahaman Islam ke arah keadilan dan kesetaraan, yang meraikan kepelbagaian dan perbezaan, yang menuntut keamanan, kebebasan, kemartabatan diri dan yang mendorong keperluan reformasi bagi mengisi tuntutan umat Islam untuk menzahirkan demokrasi, hak asasi dan keadilan sosial.

REFORMASI PADA SISTEM

Persoalannya sekarang, adakah pemimpin-pemimpin politik dan agama di negara-negara Islam mempunyai kesungguhan untuk membawa perubahan radikal yang sangat diperlukan dalam cara Islam diajar, difahami, dikanunkan dalam undang-undang, dan diamalkan setiap hari.

Hentikan pembaziran wang dan masa bagi mengadakan persidangan antara Presiden, perdana menteri dan ketua agama yang hanya membincangkan cara membanteras terrorisme.

Sebaliknya, gunakan semua sumber tersebut untuk mereformasi sistem pendidikan, mengkaji semula undang-undang yang diskriminasi dan tidak adil, mendorong untuk mengubah budaya dan amalan yang menindas wanita dan melanggar hak asasi di atas nama Islam.

Cukuplah dengan berkata-kata dan berasa gelisah tidak tentu arah. Laksanakanlah perubahan dengan serta-merta.

Dalam menangani masalah ancaman fahaman ekstremisme di kalangan rakyat Malaysia yang terlibat dengan IS dan kumpulan ekstremis, pihak berkuasa perlu bertindak segera untuk mereformasi bagaimana Islam diajar di sekolah dan institusi pengajian serta mengkaji semula mesej yang disampaikan melalui ceramah agama di radio, televisyen dan khutbah solat Jumaat oleh para pendakwah populis di seluruh negara.

Orang Islam dan bukan Islam berhak untuk bersuara dan menyoal isu-isu berkaitan Islam. Hentikan larangan menyoal, membahaskan atau mengkritik undang-undang berkaitan Islam seperti hudud dengan alasan ia menyoal undang-undang Tuhan.

Enakmen hudud adalah undang-undang yang digubal oleh manusia dan diluluskan oleh kerajaan Negeri Kelantan yang terdiri daripada manusia biasa.

Hentikan anggapan bahawa mereka yang bercakap dengan nama Allah adalah maksum dan tidak boleh ditegur.

KAJI SELIDIK

Isu hudud yang diperalatkan secara terang-terangan demi kepentingan masing-masing membawa padah kepada umat Islam dan juga arus politik di Malaysia dan jelas menunjukkan bahawa perubahan yang diharapkan tidak akan datang dari pucuk pemimpin kita.

Seorang ahli jawatankuasa teknikal hudud Kelantan dengan bangganya memaklumkan bahawa berdasarkan kaji selidik SMS yang telah dijalankan oleh parti PAS dengan responden seramai 77,000 orang dari 29 bahagian pilihan raya, menyatakan yang 97% responden bersetuju dengan pelaksanaan hukum hudud.

Mungkin satu kaji selidik yang berbeza boleh dijalankan dengan menerajukan soalan ini; Adakah kerajaan patut memberi perhatian kepada pelaksanaan hudud atau memberi lebih perhatian kepada pembinaan infrastruktur dan pembaikpulihan taraf hidup rakyat Kelantan yang telah terjejas akibat banjir, membanteras masalah kemiskinan, korupsi, pengangguran, membina perumahan yang mampu dimiliki orang ramai serta memperbaiki perkhidmatan kesihatan?

Saya pasti kebanyakan rakyat di Kelantan akan memilih pilihan kedua. Apakah meningkatkan taraf kehidupan rakyat itu sesuatu yang bukan mengikut tuntutan Islam?

Pucuk pangkalnya, ia bergantung kepada niat. Niat untuk melakukan kebaikan, memperjuangkan keadilan, menunjukkan belas kasihan dan hormat-menghormati sesama sendiri walaupun berbeza pendapat memang didukungi oleh ajaran Islam.

Namun, jika niat adalah untuk mengalihkan perhatian daripada kegagalan pemimpin untuk menzahirkan aspirasi rakyat, melarang sebarang kritikan atau persoalan dan memaksa rakyat akur bahawa hanya Islam yang dibawa pihak berkuasa adalah satu-satunya Islam yang sebenar, maka seperti yang diujarkan oleh Ulama Besar Al-Azhar, memang terdapat banyak tafsiran Al-Quran dan Sunnah yang menyeleweng untuk digunapakai bagi mencapai matlamat politik.

Tags / Kata Kunci: IS , Sheikh Ahmed al-Tayeb , Amman Message

iklan

Video

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Khamis, 14 September 2017 4:00 PM

Farida Jalal Mahu Lebih Kolaborasi Malaysia-Bollywood

Khamis, 14 September 2017 9:00 AM

Faye Kusairi Menangis Tonton Diri Sendiri

Kolumnis

iklan

Iklan