Latihan Bersama Perkukuh Polis Dan Tentera

Diterbitkan: Rabu, 27 Julai 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Bahagian satu daripada dua siri

PORT DICKSON: Pusat latihan bersama yang ditubuhkan di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) untuk anggota tentera dan polis dijangka akan meningkatkan kerjasama strategik antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia.

Sehingga baru-baru ini kerjasama yang diadakan hanya dalam bentuk penghapusan jenayah. Kerjasama ini bukan sahaja akan memperkukuh pemahaman antara kedua-dua pasukan dalam tanggungjawab masing-masing tetapi juga meningkatkan rasa kekitaan dalam kalangan anggota dan pegawai.

"Pada saya, ini adalah satu landasan yang terbaik bagi mereka (pelatih polis dan perajurit muda tentera) dalam mewujudkan integrasi. Ini juga membantu mereka menaikkan semangat setiakawan dalam kalangan anggota kedua-dua pasukan," kata Komandan Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda) Kol Dzulkarnain Ahmad kepada Bernama baru-baru ini.

Sementara itu Timbalan Komandan Pusat Latihan Polis (Pulapol) di Pusasda, ASP Nekmat Mohd Yunos berkata kerjasama ini, yang dilaksanakan di bawah NBOS, juga memberikan pengalaman baru dan berbeza bagi kedua-dua pasukan.

Tingkat Anggota Di Bawah NBOS

Kerjasama di bawah NBOS juga bertujuan membolehkan PDRM menyediakan sekurang-kurangnya 150,000 anggota menjelang 2015.

Kekuatan itu juga mampu merealisasikan hasrat kerajaan menerusi Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) yang mensasarkan penurunan indeks jenayah sebanyak lima peratus.

Selain Pusasda di Port Dickson, Negeri Sembilan, satu lagi pusat latihan polis yang diwujudkan bagi melatih pelatih polis dengan kerjasama ATM, ialah atas Kapal Diraja Sultan Ismail (KDSI), Tanjung Pengelih, Johor.

Sejak Januari tahun ini, 984 orang pelatih PDRM menjadi kumpulan pertama menjalani latihan selama enam bulan di Pusasda.

Selain itu perajurit muda tentera yang menjalani latihan ialah seramai 2,184 orang dengan 194 orang pelatih wanita.

Sementara itu, di KDSI, kumpulan pertama pelatih polis yang menjalani latihan di situ berjumlah 498 orang.

Pusat Latihan Pada masa ini, PDRM mempunyai lima pusat latihan iaitu Pusat Latihan Polis (Pulapol) di Kuala Lumpur, Johor, Sarawak, Negeri Sembilan dan Kedah.

Nekmat berkata kerjasama antara PDRM dan ATM lebih menumpukan kepada penggunaan logistik dan kemudahan yang terdapat di Pusasda dan KDSI.

"ATM banyak membantu kami dalam usaha PDRM melahirkan lebih ramai anggota menjelang 2015. Usaha ini akan dapat menepati sasarannya dengan penggunaan prasarana di Pusasda ini untuk menjalankan latihan kepada pelatih polis," katanya.

Beliau berkata inisiatif itu bukan sahaja mampu menjimatkan masa dalam menghasilkan anggota polis pada kadar yang lebih cepat, malah dapat menjimatkan wang kerajaan kira-kira RM639 juta bagi tempoh lima tahun dengan bantuan daripada pihak tentera.

Sementara itu, Dzulkarnain berkata kerjasama yang diadakan antara ATM dan PDRM juga termasuk mengguna sama bangunan, penginapan, dewan makan serta kemudahan latihan yang terdapat di Pusasda.

Kemudahan Di Pusat Latihan

Terdapat kira-kira 10 blok penginapan bagi menempatkan perajurit muda tentera di Pusasda sebelum ini, dengan 24 dormitori yang mampu memuatkan kira-kira 300 orang pada satu-satu masa.

Semasa sesi latihan, tiga blok dikhususkan bagi kegunaan PDRM. Ia juga diberi kemudahan menggunakan dewan kuliah, lapang sasar, padang bola dan padang kawad secara bersama.

"Cuma untuk latihan menembak, kami menggunakan senjata kami sendiri. Yang lain-lain kami gunakan prasarana ATM," kata Nekmat.

Mengenai kemudahan rawatan menggunakan Rumah Sakit Angkatan Tentera (Resat), Dzulkarnain berkata dalam kes kecemasan, pihaknya tidak mempunyai masalah untuk menerima dan merawat pesakit dari kalangan pelatih PDRM.

Pada masa ini, PDRM menggunakan kemudahan perubatan yang disediakan di Hospital Port Dickson, di sini.

Susun Jadual

Memandangkan kerjasama ini yang pertama kali seumpamanya dijalankan antara kedua-dua agensi keselamatan itu, sudah tentunya perancangan jadual latihan di Pusasda perlu disusun rapi bagi mengelak pertindihan.

Dzulkarnain berkata pihaknya bersama wakil daripada PDRM mengadakan mesyuarat koordinasi setiap minggu bagi membincangkan perancangan masing-masing.

"Sebagai contoh kami(ATM) tak guna padang kawad sepanjang hari. Jadi, kalau polis pakai sebelah pagi, tentera akan pakai sebelah petang.

Beliau berkata sehingga kini tiada masalah yang timbul berkaitan penggunaan bersama kemudahan yang ada oleh polis dan tentera di bawah satu bumbung di situ.

Latihan Pasukan

Dzulkarnain berkata ATM dan PDRM tidak mengadakan latihan bersama kecuali bagi kawad kaki sahaja.

"Ia lebih dalam bentuk kawad sahaja latihan bersama yang kita ada. Tapi dalam bentuk eksesais lain, polis ada kepakaran atau perkara yang perlu diajar kepada pelatih-pelatih mereka.

"Manakala tentera pula, kita mengikuti mata pelajaran yang berlainan daripada polis. Sebab itu dalam subjek eksesais kita tidak buat penggabungan," katanya.

Meskipun begitu, beliau mengakui bahawa perbezaan corak latihan antara ATM dan PDRM telah memberi manfaat kepada pelatih kedua-dua agensi itu melalui pemerhatian melihat corak latihan masing-masing.

Catat Sejarah

Pada 30 Julai ini, sejarah bakal tercipta bagi PDRM dan ATM apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual merasmikan upacara perbarisan tamat latihan bagi kedua-dua pasukan keselamatan negara.

Upacara itu julung kali diadakan di negara ini di mana pelatih polis dan prajurit muda tentera berkawad bersama sempena perbarisan tamat latihan serentak.

"Ini tidak pernah lagi dibuat dan inilah pertama kali dibuat di Malaysia dan saya percaya di tempat-tempat lain pun belum pernah dibuat di mana pelatih tentera dan pelatih PDRM tamat latihan bersama.

"Kita akan menggunakan satu padang kawad di mana ketua perbarisan diketuai seorang daripada tentera dan seorang lagi polis dan kontijen juga dicampurkan," kata Dzulkarnain.

Selain Perdana Menteri, Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar dan Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zain akan turut hadir pada acara itu.- BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan