Generasi Ketiga Felda Nikmati Kejayaan Yang Bukan Datang Bergolek

Diterbitkan: Jumaat, 21 Januari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: “Saya anak orang Felda lah, sudah semestinya saya pilih minyak SAJI,” kata seorang anak peneroka di dalam laman sosial Facebook menjawab soalan rakannya kenapa dia beriya-iya mencari SAJI dalam banyak jenama minyak yang lain yang “hilang” daripada rak kebanyakan kedai hujung tahun 2010.

Minyak masak jenama SAJI ialah keluaran Felda atau Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan.

Komen anak muda ini, yang jelas bangga menjadi anak peneroka Felda, bukan sesuatu yang asing sekarang ini, suatu bukti bahawa generasi dari petempatan Felda kini bangga mengakui asal usul dan kemakmuran yang dinikmati.

Mereka begitu patriotik dengan semangat lahir dari Felda dan menghargai kehidupan di tanah rancangan itu.

Bagi mereka yang menyusuri asal usul Felda, SAJI bukan semata-mata jenama minyak masak, tetapi puncak kejayaan peneroka Felda.

Felda melahirkan generasi ketiga yang bertuah menyaksikan kejayaan datuk dan nenek mereka, yang menjadi peneroka bermula dengan petempatan Felda yang pertama di Lurah Bilut, Pahang.

KEJAYAAN BUKAN SEKELIP MATA

Pada 18 Januari 2011, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan secara rasminya, selepas pembukaan Felda 54 tahun lalu, bahawa penduduk Felda kini merupakan penduduk berpendapatan sederhana, dengan purata sebulan RM3,000, lebih tinggi daripada pendapatan 40 peratus rakyat Malaysia dalam golongan berpendapatan rendah.

Beliau berkata ini rekod pencapaian luar biasa, dan Felda berjaya mengubah keadaan hidup masyarakat yang bertuah kerana terpilih menjadi peneroka yang kini berjumlah 1.6 juta orang.

Felda melalui proses trasformasi yang agresif sehingga menjadi satu gagasan yang mampu mengubah landskap sosio ekonomi yang diperjuangkan dan Najib berpendapat dengan pendapatan purata RM3,000 itu membolehkan keluarga di Felda menikmati kehidupan lebih berkualiti dengan kos kehidupan yang rendah.

Ini hasil kekukuhan ekonomi Felda seperti yang dilaporkan tahun 2010 dengan nilai ladang komersialnya sebanyak RM10 bilion, aliran tunai RM1.3 bilion, tidak termasuk nilai anak syarikat Felda yang mempelbagaikan pelaburannya termasuk dalam bidang hartanah dan pasaran saham di dalam dan luar negara dalam usaha meningkatkan pemasaran sawit dan produk Felda yang lain.

Koperasi Permodalan Felda juga turut aktif dalam aktiviti pelaburannya.

Kejayaan ini memang bukan sekelip mata dicapai, tetapi pencapaiannya juga bukan secara kebetulan, malah dirancang lebih setengah abad lalu hasil pandangan jauh Bapa Pembangunan Malaysia, Allahyarham Tun Abduk Razak Hussein.

SATU-SATUNYA DI DUNIA

Felda yang kini berbangga dengan slogan “Felda Hanya 1 Di dunia” bertapak dari penerokaan hutan dan sesungguhnya tiada program pembangunan rakyat miskin di luar bandar yang berjaya seperti Felda.

Peranan Felda sejak awal lagi ialah memajukan tanah baru untuk dijadikan ladang pertanian yang produktif melalui pengurusan pertanian berkesan dalam kalangan peneroka serta menggalakkan pertumbuhan masyarakat yang maju dan berdisiplin.

Penubuhan Felda ialah untuk menyeimbangkan pembahagian kek ekonomi supaya tidak wujud jurang pencapaian ekonomi yang ketara dan Felda memberi impak jangka pendek dan jangka panjang terhadap peneroka dalam usaha membina status sosio ekonomi mereka.

Hakikatnya peneroka membanting tulang memajukan tanah yang dibuka, tetapi dalam masa yang sama pelbagai kemudahan dibawa masuk ke tanah rancangan Felda -- pusat kesihatan, masjid, pejabat pos, balai polis, dewan serbaguna, kompleks sukan, padang, stesen minyak, balai raya, klinik bidan, pusat komuniti, malah pegawai Felda yang bukan sahaja ditugaskan menyelia kemajuan tanah rancangan tetapi turut sedia mendengar masalah dan aspirasi mereka.

Masyarakat di luar Felda pula ditarik perhatian mereka terhadap kehidupan di tanah rancangan ini sehingga ada drama radio khusus mengenai masyarakat Felda iaitu "Fajar Di bumi Permata", antara drama bersiri yang paling lama bersiaran pada tahun 1970-an.

Drama ini menceritakan kehidupan seharian keluarga peneroka di “Felda Bukit Putra”, sehinggakan ramai pula yang mahu mengunjunginya sedangkan petempatan Felda itu hanya ciptaan di dalam drama berkenaan.

Begitulah kuatnya impak kempen memperkenal dan menggalakkan penerokaan Felda sebelum ia berjaya.

PEMBANGUNAN YANG DIRANCANG

Wang yang dibawa masuk untuk membiayai kegiatan pembangunan Felda bukan sahaja daripada kerajaan persekutuan, tetapi pinjaman Bank Dunia, Bank Pembanguan Asia, Tabung Kerajaan Kuwait, Tabung Pembangunan Arab Saudi dan lain-lain dalam bentuk pinjaman untuk membiayai kerja pertanian, pembinaan kilang dan perumahan peneroka.

Felda mengeluarkan pinjaman tanpa faedah lebih RM6 juta di bawah skim pinjaman pembesaran rumah kepada peneroka untuk memastikan mereka tinggal di rumah yang lebih selesa. Di sana sini di kebanyakan petempatan Felda, rumah asal kayu kini sudah berganti dan ada yang menjadi banglo.

Dan untuk tahun 2011 mereka menerima suntikan RM1.6 bilion, peruntukan untuk memajukan lagi masyarakat Felda di seluruh negara. Sejumlah RM2.4 bilion pula sudah dibelanjakan untuk tanaman semula sawit dan getah yang dijangka membuahkan hasil tahun ini.

Daripada aktiviti perladangan kelapa sawit dan getah, Felda menggalakkan juga peneroka memperoleh pendapatan dalam industri bukan ladang. Mereka dibantu mengusahakan tanah terbiar bagi projek pertanian seperti akuakultur, ternakan, perusahaan, tanaman, perniagaan, dan perkhidmatan serta industri kraftangan untuk isteri peneroka dan sebagainya.

Peka dengan tuntutan semasa, Felda turut mengetengahkan idea Satu Wilayah Satu Industri pada 2003 bermatlamat untuk menambah pendapatan isi rumah peneroka.

Kini perjalanan jauh memasuki Felda tidak lagi dengan bas atau kenderaan yang bersalut tanah merah, tetapi jalan cantik bertar dan lurus yang berlampu, dan dibarisi pokok rendang buah-buahan. Lihat sahaja Felda Sungai Klah, di Perak, yang kini menerima kunjungan pelancong ke air panas mereka dan beberapa Felda yang dijadikan model inap desa.

MENYEDIAKAN GENERASI PELAPIS

Dalam usaha kerajaan memperkasa golongan peneroka menceburi bidang keusahawanan, generasi muda Felda turut dilibatkan dalam pelbagai program daripada penyediaan kemudahan pendidikan, asrama, kolej integrasi, skim tuisyen, latihan vokasional, akses Internet sehinggalah pembiayaan ke pusat pengajian tinggi.

Kini ramai anak peneroka Felda menjadi doktor, peguam, jurutera, dan tokoh korporat, hasil daripada penerokaan hutan lebih 50 tahun dahulu.

Bagaimanapun generasi ketiga ini dinasihatkan supaya tidak hanya menjadi penonton kepada semua peluang yang ditawarkan kepada masyarakat Felda.

Bak kata anggota Parlimen Krau Datuk Ismail Mohamed, “keringat generasi pertama dianggap sebagai permata untuk menyinari kehidupan generasi seterusnya dan kini ia menjadi kenyataan."

Sempena sambutan 50 tahun Felda sebelum ini Bank Negara ada mengeluarkan tiga jenis duit syiling peringatan sebagai penghargaan terhadap sumbangan besar Felda dalam menaik taraf dan kualiti hidup serta penghormatan kepada pengasasnya Allahyarham Tun Abdul Razak.

Satu daripadanya ialah duit syiling perak yang memaparkan imej tiga generasi peneroka Felda dan cadangan bangunan 50 tingkat ibu pejabat Felda di sebelah Menara Kembar Petronas, di sini. Imej ini melambangkan pertumbuhan dan kejayaan Felda dalam menaikkan taraf hidup tiga generasi peneroka.

Jika dulu apresiasi generasi kedua Felda mungkin belum menonjol, tetapi terbukti generasi ketiga ini lebih mendalam perhargaannya kerana telah terbukti segala rancangan, program, pengorbanan, bantuan dan galakan yang diberikan kepada Felda selama ini telah membuahkan hasil yang amat manis sekali. - BERNAMA

iklan

Video

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Kolumnis

iklan

Iklan