Membina Keupayaan 'Gerak Halus' Dalam Anak Sindrom Down

Diterbitkan: Selasa, 21 September 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Sememangnya diketahui umum tentang kelemahan pada 'kebolehan atau keupayaan motor halus' dalam diri anak yang mengalami Sindrom Down.

"Keupayaan motor halus adalah kebolehan menguasai otot-otot kecil yang menggerakkan tangan serta jari. Perkembangan keupayaan ini membantu anak-anak Sindrom Down menyelesaikan beberapa aktiviti seperti menulis dan mewarna serta aktiviti lain seperti menyuap makanan dan membutangkan baju.

"Bagaimanapun, aspek ini tidak boleh dikembangkan dengan sekelip mata sahaja tetapi hanya boleh dicapai merentangi masa dan melalui latihan", kata pakar terapi gerak kerja Junaleth Dalupang Chiong.

Beliau yang lebih gemar dipanggil 'June' merupakan warga Filipina yang bertugas sebagai pakar terapi anak-anak Sindrom Down di Jabatan Terapi Yayasan Sindrom Down Kiwanis-Pusat Nasional (KDSF-NC) di Petaling Jaya dekat sini.

Kata June, terdapat empat aspek kebolehan motor (gerak) halus anak Sindrom Down yang perlu 'bantuan'. Empat aspek ini adalah kekuatan (cubit dan genggam), deksteriti (manual serta jari-jemari), koordinasi/pengimbangan (gerak imbangan mata-tangan serta gerak imbangan lengan-tangan) selain kebolehan taktil.

KEKUATAN

"Satu daripada ciri-ciri anak Sindrom Down adalah tonus otot yang lemah. Mereka menghadapi cabaran serta kesukaran yang ketara dalam aspek ini kerana kelemahan otot serta kelonggaran ligamen.

"Mereka perlu otot yang lebih kuat supaya dapat memegang dan menggenggam objek menggunakan tangan dan jari", kata beliau.

June menyarankan beberapa aktiviti bagi membina kekuatan dalam diri anak Sindrom Down.

"Aktiviti seperti bermain 'tanah liat', botol picit/penitik ubat, gerak jalan seperti cara haiwan bergerak dan beberapa gerak jalan lain antaranya seperti menolak kereta tolak, berjalan seperti beruang atau ketam boleh membantu anak-anak ini membina kekuatan.

"Aktiviti lain seperti membawa beg, atau mengangkat kotak yang tidak berapa berat dan yang mempunyai pemegang turut membantu. Lain-lain ialah bermain tarik tali dan sepit pakaian/baju", kata beliau.

KOORDINASI, IMBANGAN

Menurut June, kelemahan keupayaan koordinasi/pengimbangan boleh mencacatkan kebolehan motor.

"Disebabkan masalah penglihatan dan tonus otot yang rendah, anak Sindrom Down mempunyai masalah mengimbangi pergerakan mereka kerana mata mengawal serta mengarah dan memberi panduan kepada tangan bagi menyelesaikan sesuatu fungsi atau tugas", kata beliau.

June juga menyarankan beberapa aktiviti yang boleh membantu mempertingkatkan koordinasi dalam diri anak Sindrom Down.

Antara aktiviti ini ialah mengikat kad yang telah disusun, mengatur kad, menyambung beberapa objek menggunakan satu tali dan mengatur objek mengikut bentuk.

"Anak Sindrom Down perlu digalakkan mengguna sudu, penceduk, senduk bagi memindahkan bahan serta memenuhkan bekas dalam pelbagai bentuk dan saiz.

"Mereka juga perlu digalakkan terlibat dalam aktiviti yang menggunakan kedua-dua belah tangan di mana satu tangan akan memegang objek dan sebelah tangan lagi akan membuat gerak manipulasi. Kedua-dua belah tangan haruslah bergerak aktif", kata beliau sambil menambah kanak-kank Sindrom Down perlu digalakkan melakukan aktiviti nyanyian yang melibatkan gerak tangan.

DEKSTERITI

"Kerana mempunyai masalah dalam aspek koordinasi, anak Sindrom Down mengalami kesukaran dalam manipulasi tangan seperti mengambil, menggenggam dan menyambung barangan serta objek besar dan kecil sama ada dengan menggunakan sebelah atau kedua-dua belah tangan.

"Biasanya tangan yang dominan akan memulakan pergerakan dan tangan sebelah lagi (bukan dominan) akan membantu dari segi kestabilan. Tangan ini juga dikenali sebagai tangan pembantu".

Beliau menyarankan aktiviti seperti gerak yang menggunakan jari dalam membuka dan menutup objek secara memutar atau putaran. Aktiviti lain adalah menutup/membuka bekas barang yang kecil atau besar, menggunakan peralatan yang boleh disambung dan diceraikan seperti permainan lego dan memasukkan 'skru' ke dalam 'bolt'.

"Anak Sindrom Down juga boleh dilibatkan dalam 'aktiviti mengutip' seperti mengutip duit syiling, butang dan mereka juga boleh mengutip kad-kad yang sudah dilaminasi serta menguis tutup botol", kata June.

KEBOLEHAN SENTUH, TAKTIL

Deria sentuh atau taktil adalah penting bagi setiap situasi. Masalah taktil bagi anak Sindrom Down mengganggu kebolehan mereka berfungsi secara efektif.

"Kalau anak anda dari yang amat sensitif, mereka mungkin memberi reaksi yang lebih walaupun pada stimulus yang kecil terutama sentuhan daripada mereka yang tidak dikenalinya.

"Anak yang mempunyai masalah taktil akan mempunyai masalah dalam gerak motor halus kerana otak mereka tidak menerima isyarat yang sepatutnya".

Isyarat-isyarat ini adalah penting bagi gerak-gerak kebolehan yang penting seperti menulis, menyuap makanan dan memakai pakaian.

June juga menyarankan aktiviti yang boleh membantu seperti memberus tangan dengan menggunakan berus surgikal, mewarnakan jari serta mendedahkan tangan mereka kepada tekstur yang berlainan seperti air dan pasir. "Aktiviti ini boleh membantu keupayaan gerak halus mereka", tambah beliau lagi. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan