'Pemangsa' Terbang Tinggi Di Tanjung Tuan

Diterbitkan: Khamis, 25 Mac 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

TANJUNG TUAN: Tidak ramai dalam kalangan kita tahu burung 'raptor' atau burung pemangsa berasal dari dinosur velociraptor (dinosur berkaki dua dan berpinggul seperti yang digambarkan dalam filem 'Jurassic Park').

Di Tanjung Tuan yang dulunya dikenali sebagai Cape Rachado, Melaka, beribu-ribu burung jenis ini dapat dilihat terbang pulang ke destinasi mereka di hemisfera utara.

Burung raptor singgah di Tanjung Tuan dalam perjalanan mereka merentasi Selat Melaka sejak beribu tahun lalu dan hijrah burung-burung ini merupakan satu kejadian alam yang menakjubkan setiap tahun.

Pada setiap bulan Mac bila terjadinya 'migrasi' ini, ia memberikan satu pemandangan yang amat mempesonakan di Tanjung Tuan.

Burung pemangsa bukanlah satu-satunya spesies burung yang dapat dilihat di Tanjung Tuan ketika ini, bahkan terdapat pelbagai spesies lain seperti layang-layang (swifts), Kirik-kirik Laut (bee-eaters)dan juga pipit (wagtail) yang kelihatan terbang menuju ke utara.

MELIHAT RAPTOR

Bagi menimbulkan kesedaran tentang perlunya memelihara burung raptor dan habitat mereka, Persatuan Pencinta Alam Malaysia menganjurkan program 'Raptor Watch' setiap tahun sejak tahun 2000.

Program dua hari ini merupakan acara umum utama bagi MNS dan berjaya menarik perhatian serta penyertaan dari seluruh dunia.

Pengerusi Majlis Pemuliharaan MNS Mohd Rafi Kudus berkata raptor ialah burung pemangsa seperti helang (eagle), Alap-Alap Kawah (falcon), hering (vulture) dan burung hantu (owl) yang juga merupakan pemangsa atau predator darat yang mampu terbang jauh serta sensitif pada kawasan.

Raptor ialah burung jenis maging dan mereka mempunyai beberapa ciri pemburu dan pemangsa seperti sayap yang ringan, mata yang tajam, paruh yang bercangkuk dan kuku yang besar serta tajam.

Kebanyakan raptor berasal dari kawasan sejuk hemisfera utara dan boleh didapati di hutan Siberia, utara China, Mongolia, Jepun dan Korea.

HIJRAH

Migrasi burung-burung ini disebabkan beberapa faktor, antaranya cuaca serta punca makanan. Pada musim sejuk di utara, ketika sumber makanan dalam kawasan pembiakan menurun, burung raptor akan berhijrah ke destinasi di mana makanan lebih mudah didapati.

Satu fakta yang agak menarik ialah raptor bersifat mempunyai kawasan sendiri dalam habitatnya. Ia memerlukan beberapa kilometer persegi sebagai 'kawasan memburu peribadi' tetapi pada musim migrasi, burung-burung ini akan berkumpul dan terbang bersama mencari tempat perlindungan yang lebih panas.

Burung pemangsa boleh terbang jarak jauh. Untuk melakukan sebegini, raptor akan melayang di udara dan menggunakan 'thermal' (haba) udara panas yang naik ke atmosfera untuk mencapai ketinggian sebelum beraksi secara 'luncur'. Dengan itu mereka tidak perlu menggunakan tenaga yang banyak.

Raptor akan bergerak pada waktu siang ketika wujudnya 'thermal' yang boleh membuatkan mereka terbang dengan baik. Haba panas yang naik ke udara di kawasan Tanjung Tuan membantu mereka terbang untuk mencapai altitud dengan cara berpusing.

Tanjung Tuan juga merupakan 'stesen' terdekat bagi kelompok raptor menyeberangi selat Melaka untuk ke Sumatera dan sebaliknya.

KELETIHAN, MATI

Bila tiba di daratan Malaysia, ada raptor yang keletihan dan ada juga yang begitu kepenatan sehingga jatuh ke dalam laut dan terus lemas. Ada yang mati kerana kelaparan dan terlampau letih. Malangnya, ada juga yang mati akibat kena tembakan.

Ketika sudah dekat dengan pantai Malaysia, raptor akan kehilangan altitud dan terpaksa mengembangkan dan menggerakkan sayap untuk sampai ke darat. Ketika mereka terbang rendah inilah, para pemerhati burung akan dapat melihat mereka terbang secara perlahan dari jarak yang agak dekat.

Olek kerana tiadanya thermal panas pada waktu hari mendung atau hujan, raptor akan mengambil kesempatan untuk berehat.

Menurut Ketua Komunikasi MNS Anthony Sebastian pelawat berpeluang melihat lima spesies raptor di Tanjung Tuan ketika burung-burung ini merentasi Selat Melaka.

Raptor yang dapat dilihat ialah Lang Lebah (Oriental Honey-Buzzard), Lang Baza Berjambul (Black Baza), Lang Sewah (Japanese Sparrowhawk), Alap-Alap Cina (Chinese Goshawk) serta Lang Baza Hitam (Grey-faced Buzzard).

Masa yang terbaik bagi melihat raptor ini ialah antara 11 pagi hingga 3 petang. Tetapi antara faktor yang menghalang ialah hujan, kabus serta juga arah angin.

Bagi hari-hari tertentu terdapat lebih 3,000 burung pemangsa dilihat terbang di udara selama enam hingga tujuh jam di Tanjung Tuan.

Tahun ini sukarelawan MNS di Rumah Api Tanjung Tuan mencatat 33,806 raptor selama 21 hari dari 21 Feb hinnga 14 Mac berbanding 37,176 dalam masa 65 hari pada tahun lepas.

Data burung pemangsa yang dapat dilihat di Tanjung Tuan dikemas kini di dalam www.worldbirds.org/malaysia dan disahkan oleh pakar burung. Laman web itu juga merupakan landasan bagi peminat serta pakar burung Malaysia berkongsi maklumat.

MNS merupakan badan yang pertama di Asia Tenggara yang melancarkan pangkalan data seumpama ini.

PETUNJUK KESIHATAN ALAM SEKITAR

Menurut presiden MNS Tan Sri Dr Salleh Mohd Nor, adalah penting bagi pemuliharaan raptor kerana burung jenis ini berada di tingkat paling atas dalam banyak piramid makanan dan populasi mereka sensitif terhadap sebarang perubahan ekosistem atau aliran tenaga.

Oleh kerana faktor ini, kehadiran raptor ialah petunjuk yang baik bagi kesihatan alam sekitar serta rangkaian makanan.

Contohnya Helang Bondol atau Brahminy Kite (raptor yang berasal dari Malaysia), populasinya berkurangan dengan semakin kurangnya habitat paya bakau di negara ini.

Raptor kini menerima ancaman daripada manusia di mana terdapat kebinasaan pada habitat mereka selain kurangnya sumber makanan. Mereka juga terancam kerana penggunaan racun makhluk perosak, perniagaan hidupan liar serta juga menjadi mangsa tembakan.

Menurut Dr Salleh, aktiviti melihat burung merupakan aktiviti atau hobi mengenai burung yang paling popular di dunia dan beribu-ribu peminat burung sanggup berbelanja besar kerana aktiviti ini.

"Eko-pelancongan merupakan industri US$60 juta setahun. Melihat raptor ialah satu acara unik dan satu daripada eko-pelancongan paling menarik di Malaysia. Ekonomi tempatan serta hotel sudah tentu akan mendapat faedah daripada aktiviti ini", kata beliau.

TANJUNG TUAN

Tanjung Tuan disenaraikan sebagai antara lokasi melihat raptor oleh pelbagai pertubuhan burung dan juga National Geographic Society.

Di sini, selain daripada melihat raptor, pengunjung boleh merentasi hutan dan paya bakau secara 'nature walk' dan menikmati keindahan saki-baki hutan hujan khatulistiwa yang masih wujud di Pantai Barat di Semenanjung.

Tanjung Tuan juga merupakan tempat tinggal bagi spesies monyet kelabu (silver-leafed monkey) manakala penyu lipas (Olive Ridley turtle) serta penyu karah (Hawksbill turtle) sering dilihat di kawasan pantai.

Selain daripada 54 lokasi lagi di Semenanjung dan juga Sabah serta Sarawak, Tanjung Tuan disenaraikan di dalam 'Directory of Important Bird Areas in Malaysia' yang juga merupakan lokasi penting bagi pemuliharaan biodiversiti. - BERNAMA

iklan

Video

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 3:37 PM

Siapa Haida Hafiz?

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Kolumnis

iklan

Iklan