suria

Pelajar Antarabangsa Melangkah Ke Alam Universiti Di Curtin Sarawak

Pegawai dari Pejabat Antarabangsa menghulurkan pek persediaan kepada Mohamed Eman.
Pegawai dari Pejabat Antarabangsa menghulurkan pek persediaan kepada Mohamed Eman.
Pegawai dari Pejabat Antarabangsa menghulurkan pek persediaan kepada Mohamed Eman.

Miri: Seramai 43 pelajar antarabangsa telah menyertai sesi Persediaan Pelajar Antarabangsa (International Students' Prep session) di Universiti Curtin Sarawak, dari 17 hingga 18 Februari baru-baru ini.

Sesi persediaan itu adalah sebelum sesi pembelajaran semester pertama bermula dan sesi yang berlangsung dua kali setahun itu diwajibkan bagi membolehkan mereka mengenali lebih dekat mengenai universiti itu selain dapat mempelajari adat dan budaya tempatan.

Antara penuntut-penuntut yang menyertai sesi itu termasuk daripada China, Indonesia, Brunei Darussalam, Singapura, Myanmar, negara timur tengah dan India.

Timbalan Pro Naib Canselor, Profesor Alistair Inglis dalam menyampaikan ucapan alu-aluan beliau baru-baru ini, menyeru kepada semua pelajar untuk mengambil bahagian secara aktif di dalam kampus juga bersama dengan komuniti tempatan.

"Miri mempunyai karakter istimewa yang tersendiri kerana latar belakang pelbagai budaya kota ini. Oleh demikian, saya mengalakkan semua agar menjalinkan persahabatan dengan pelajar antarabangsa lain termasuk juga penduduk tempatan yang ramah," jelas beliau.

Beliau juga menasihatkan para pelajar agar memupuk minat terhadap aktiviti-aktiviti yang sihat, sama ada minat dalam bersukan atau menyertai akitiviti sukarelawan, dan meminta pertolongan daripada pensyarah atau sahabat handai sekiranya mereka menghadapi kesulitan sepanjang pengajian di universiti itu.

Sementara itu, James Chai yang merupakan Presiden Persatuan Mahasiswa, menjelaskan tentang penting untuk penuntut mempunyai kehidupan yang seimbang sebagai seorang pelajar.

Tambah beliau, Persatuan Mahasiswa mengalu-alukan sebarang pertanyaan atau saranan daripada para pelajar dan bersedia menangani sebarang aduan.

Sesi persediaan itu bersambung seterusnya dengan aktiviti riadah seperti permainan ringkas, lawatan kampus, sesi perbincangan bersama Pejabat Antarabangsa, Persatuan Mahasiswa dan Persatuan Pelajar Antarabangsa.

Selain daripada itu, mereka juga diberi penjelasan mengenai insuran perubatan, penyalahgunaan dadah, pendaftaran visa serta lesen memandu dan pengurusan akaun bank serta pertukaran mata wang asing.

Pelajar jurusan perdagangan yang mengambil pengkhususan dalam bidang perakaunan dan kewangan, Nithyasoma Sundaram, berkata beliau memilih Curtin Sarawak kerana ia mempunyai reputasi yang cemerlang.

Tambahan pula, program-program yang ditawarkan adalah bertaraf dunia.

“Bagi saya, pengiktirafan ini adalah amat penting,” ujar pelajar yang berasal dari Sri Lanka ini. Beliau juga berharap untuk menghabiskan tahun terakhir di kampus utama Curtin iaitu Kampus Bentley di Perth, Australia.

Rakan-rakan seperjuangan beliau, Nyaradzo Mukwada dan Lester Jay Dioso Mangalindan yang masing-masing berasal dari Zimbabwe dan Brunei Darussalam memilih Curtin Sarawak setelah diperkenalkan kepada universiti itu oleh sahabat mereka yang juga merupakan pelajar di kampus universiti yang sama.

“Yuran untuk program yang ditawarkan di sini adalah lebih rendah jika dibandingkan dengan yuran di kampus utama di Perth. Lagipun, program di Curtin Sarawak adalah mirip program yang ditawarkan di Perth,” jelas Nyaradzo yang berpendapat bahawa penduduk tempatan di sini amat ramah sekali.

Bagi Lester yang merancang untuk menghabiskan pengajian di Perth untuk tahun terakhir, persekitaran kampus itu merupakan faktor penting di dalam memilih universiti pilihan beliau. “Secara umumnya, saya berpendapat bahawa universiti ini dan bandaraya Miri adalah bersih dan cantik,” katanya.

Penerbangan yang mengambil masa selama 12 jam dari negara Mesir yang menjadi tumpuan utama seluruh dunia baru-baru ini tidak menghalang Mohamed Eman daripada merasa teruja untuk memulakan pengajian beliau di Curtin Sarawak.

Pelajar jurusan kejuruteraan awam ini berkata, “Saya melakukan carian internet dan mendapat tahu tentang Curtin Sarawak. Universiti ini diiktiraf seluruh dunia dan oleh sebab itu, saya memilih untuk datang ke sini. Yuran pengajian serta kos kehidupan juga berpatutan.”

Curtin Sarawak mempunyai 3,000 pelajar yang datang daripada 40 negara yang menjadikan universiti ini mempunyai kepelbagaian dari segi budaya dan atmosfera pembelajaran. Untuk maklumat lanjut mengenai Curtin Sarawak, layari laman web www.curtin.edu.my atau e-mail [email protected].

Artikel Lain