Zon Bebas Cukai Di UUM Main Peranan Serampang Dua Mata - Naib Canselor

Diterbitkan: Jumaat, 25 Februari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

ALOR SETAR: Status zon bebas cukai kampus induk Universiti Utara Malaysia (UUM) di Sintok mampu menjadikan kawasan itu tumpuan pelancong sekali gus melonjakkan aktiviti pembangunan di kawasan berkenaan.

Naib Canselornya Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata ini kerana kedudukan kampus itu yang berhampiran sempadan Thailand mampu dimanipulasikan bagi memikat pelawat.

Selain itu katanya, sebagai institusi pengajian tinggi berteraskan pengurusan, status tersebut juga membuka peluang kepada pelajar UUM mendekati bidang perniagaan.

"Apabila kawasan universiti ini diiktiraf sebagai zon bebas cukai, maka ia akan dapat menarik banyak syarikat terutama yang mempunyai jenama terkemuka, francais dan bersifat antarabangsa datang ke sini menjalankan perniagaan mereka.

"Ini akan memberi peluang kepada pelajar-pelajar untuk terlibat secara langsung atau mempelajari dengan lebih dekat bagaimana syarikat-syarikat berkenaan diuruskan," katanya kepada Bernama, di sini, Jumaat.

Mohamed Mustafa juga yakin UUM tidak akan menghadapi masalah memenuhi keperluan masyarakat perniagaan sekiranya universiti tersebut berjaya memperolehi status berkenaan.

Dengan keluasan 1,061 hektar dan jarak lingkaran jalan mengelilingi kampus hampir 13 kilometer, UUM mampu menyediakan kawasan dan kemudahan mencukupi untuk syarikat membuka premis perniagaan mereka di sini, katanya.

"Kita akan pastikan ia tidak mengganggu sistem pendidikan UUM dan akan pastikan syarikat-syarikat berkenaan dapat memulakan perniagaan mereka dengan selesa.

"Apa yang kita perlukan sekarang hanyalah pemangkin untuk memulakan usaha itu iaitu dengan mengisytiharkan UUM sebagai zon bebas cukai," katanya.

Taraf bebas cukai itu juga kata beliau, mampu menjadikan UUM sebuah universiti pengurusan bertaraf antarabangsa yang bakal menarik ramai pelajar, sarjana dan pelbagai pihak dari dalam dan luar negara.

UUM buat masa ini memiliki pelajar asing kedua teramai selepas Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan pemberian status bebas cukai akan meletakkan universiti itu di persada antarabangsa, katanya.

Beliau berkata cadangan untuk mendapatkan status tersebut sudah dikemukakan kepada kerajaan dan UUM kini hanya menunggu jawapan.

UUM yang sudah mencecah usia 27 tahun adalah universiti keenam ditubuhkan di negara ini dan kini mempunyai hampir 34,000 pelajar dari 42 negara.

Daripada jumlah itu, 27,824 mengikuti pengajian ijazah sarjana muda, 6,243 pelajar peringkat Sarjana dan doktor falsafah (PhD) serta hampir 3,000 pelajar antarabangsa termasuk dari Indonesia, Yaman, China, Thailand, Somalia, Jordan dan Iraq.

Semalam Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata pihaknya tidak ada halangan mengenai cadangan UUM itu, namun perkara tersebut hanya boleh diputuskan Kementerian Kewangan.

Mohamed Khaled dilapor berkata cadangan itu juga selaras dengan usaha menampilkan pendekatan teknik pengajaran yang lebih kreatif dan inovatif serta lebih berkesan untuk pelajar. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan