Aidilfitri: Kerepek Pisang, Maruku Jadi Rebutan

Diterbitkan: Sabtu, 26 Julai 2014 1:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA SELANGOR: Selain biskut raya, keenakan dan kerangupan kerepek pisang dan muruku turut mencuri tumpuan sempena Syawal ini, apabila permintaan terhadap produk tersebut meningkat sepanjang bulan Ramadan.


Usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS), Kamsani Mohd Salleh, 54, berkata permintaan terhadap produk itu disifatkan luar biasa apabila beliau tidak menang tangan menyiapkan semua tempahan yang diterima.

Menjalankan operasi perniagaan di kediamannya di Kampung Bukit Kucing, Jeram di sini sejak Jun tahun lalu, Kamsani bertuah apabila perniagaan diusahakan bersama keluarga turut mendapat sokongan daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama).

Beliau berkata, pada hari biasa, mereka hanya mengeluarkan sekitar tujuh hingga lapan kilogram kerepek dan muruku, namun pada bulan puasa, jumlahnya meningkat sekitar 15 kilogram (kg) sehari.



"Bagi hari-hari biasa, pasaran kerepek dan muruku lebih bertumpu kepada pelanggan kami di pasar tani di Shah Alam, Putrajaya dan Kelana Jaya berikutan kami membuka tapak jualan di situ.

"Tetapi sepanjang Ramadan ini permintaan meningkat dua kali ganda kerana kami bukan sahaja menerima tempahan khas daripada orang perseorangan, tetapi juga beberapa syarikat yang memuatkan kerepek kami dalam hamper raya mereka," katanya kepada Bernama.

Kamsani berkata, bagi mengatasi masalah kekurangan stok, pelanggan dinasihatkan untuk membuat tempahan sebelum produk itu dapat disediakan.

"Kerepek pisang dan muruku ini seakan sudah menjadi menu wajib setiap kali menjelang Syawal, mungkin kerana ia sesuai sebagai kudapan sebab itu banyak permintaan.

"Bagi mengelak sebarang masalah, kita nasihatkan pelanggan yang nak beli dalam kuantiti yang banyak, supaya buat tempahan kepada kita dahulu sebab sekiranya kita ada kekangan untuk peroleh bahan mentah seperti pisang, sekurang-kurangnya kita boleh maklum kepada pelanggan," katanya.

Beliau berkata, kerepek pisang dan muruku itu dijual pada harga RM10 bagi setiap 1kg.

"Selain tidak menggunakan mesin, kesemua produk kami dihasilkan menggunakan ramuan asli...tidak mengandungi pewarna atau perisa tambahan dan faktor inilah yang menjamin kepuasan pelanggan kami," kata Kamsani.

Tags / Kata Kunci: kerepek pisang , maruku

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan