suria

Sotong kering digelar 'alternatif gula-gula getah pelik' bagi rakyat Singapura... kemarahan timbul!

Paparan skrin video Tastemade yang mencetuskan kemarahan warga Singapura.

TASTEMADE, penerbit popular kandungan video berkaitan makanan yang berpusat di Amerika Syarikat, pada Isnin menyiarkan video di laman Facebooknya yang mana ia membuat kenyataan salah bahawa rakyat Singapura suka mengunyah sotong kering sebagai alternatif selepas kerajaan mengharamkan gula-gula getah pada 1992.

Video 45 saat itu menggambarkan snek itu sebagai 'alternatif gula-gula getah yang tidak menyegarkan nafas anda'.

Video tersebut, yang dirakam di Chinatown Singapura turut menyatakan bahawa mengunyah sotong adalah satu cara 'kreatif' rakyat Singapura selepas larangan gula-gula getah 27 tahun lalu.

Hos video itu kemudian dilihat menggigit snek tersebut, yang nampaknya tidak digemarinya.

Ia diikuti keterangan 'snek yang dicarik-carik itu akan lembut selepas beberapa kunyahan, tetapi rasa hanyirnya tetap ada'.

Sebahagian komen netizen yang tak puas hati dengan video yang diterbitkan.

Bagaimanapun, mereka memberikan tip berguna: Hanya makannya dengan pudina!

Video itu diakhiri dengan satu pertanyaan kepada penontonnya: "Adakah anda akan mengunyah cephalopods (sotong)?" dan dapat dilihat seorang perempuan membuat isyarat ibu jari bermaksud 'tidak'.

Video ini telah dilihat lebih dari 496,000 kali dan mempunyai lebih 194 perkongsian ketika artikel ini ditulis.

Tidak mengejutkan dan dapat difahami, warga Singapura marah dengan tanggapan salah video ini tentang mengapa mereka mengunyah snek sotong kering.

Jawapan balas Tastemade mengenai 'alternatif gula-gula getah'.

Menjawab komen-komen marah di Facebook, Tastemade menerangkan penggunaan frasa 'getah alternatif' dengan menyatakan syarikat perkilangan sotong Singapura, Ken-Ken Food sebelum ini pernah menggunakan istilah 'gula-gula getah oriental' sebagai sebahagian daripada kempen pemasarannya.

Syarikat media itu, yang mempunyai lebih dari 30 juta pengikut di Facebook juga menyatakan bahawa untuk kandungan masa depan, pihaknya akan memberi lebih perhatian tentang bagaimana mereka sepatutnya menyampaikan maklumat seperti ini dan menonjolkan semua makanan dan budaya menakjubkan dari Asia Tenggara. -coconuts

sotong kering, gula getah, Tastemade

Artikel Lain