suria

Guna perisian ciplak, lelaki ini terduduk dapat emel daripada pemilik software... Dipaksa bayar 120K atau berdepan saman!

Perisian ciplak adalah satu jenayah. -Gambar hiasan

PERISIAN cetak rompak atau 'ciplak' sering digunakan golongan pelajar dan sesetengah organisasi kerana tidak melibatkan kos yang tinggi.

Malah ia mudah dimuat turun dan dilancarkan di komputer tanpa memerlukan pengesahan mana-mana pihak termasuk pemilik sebenar perisian.

Bagaimanapun, tular hantaran seorang lelaki yang menyatakan dia telah didenda oleh Autodesk iaitu sebuah syarikat perisian yang menghasilkan pelbagai jenis program komputer.

"Awal bulan dapat emel daripada Autodesk yang mana mereka ingin melawat pejabat kami. Emel tu tak dilayan dan kami atur strategi untuk format komputer yang ada 'pirate'.

"Dua minggu kemudian dapat emel lagi dari Autodesk, mereka dapat kesan dua buah komputer ada enam lesen ciplak yang bermula Disember 2023.

"Satu lagi emel menyusul menyebabkan aku terduduk, kami dipaksa beli enam lesen perisian Autodesk selama tiga tahun yang bernilai RM120,000 atau disaman," ujarnya yang kemudian membuat rundingan sehingga diberikan 'diskaun' dengan bayaran RM40,000.

Luahannya itu mendapat perhatian seorang jurutera, Najib Fazail yang menyatakan pemilik perisian sebenarnya boleh mengesan penggunaan tanpa kebenaran seterusnya mengambil tindakan.

Penggunaan baragan ciplak merugikan. -Gambar hiasan

Penggunaan baragan ciplak merugikan. -Gambar hiasan

Menurutnya, tindakan kebiasaannya diambil terhadap organisasi terlibat apabila pemilik mendapati jualan pengguna tersebut meningkat.

Malah katanya, meskipun terdapat tindakan penguatkuasaan namun ia berleluasa disebabkan terdapat permintaan tinggi dalam kalangan masyarakat.

Sementara itu, laman web ekemusykilan.penang menjelaskan hukum menggunakan perisian komputer termasuk permainan digital cetak rompak adalah salah dan tidak diharuskan.

Perisian komputer ataupun permainan digital ini merupakan sejenis harta intelek yang merupakan aset tidak nyata tetapi ia diiktiraf oleh undang-undang dan syarak seperti mana yang telah diputuskan oleh Majma’ Al-Fiqh Al-Islami dalam persidangan ke-5 yang diadakan di Kuwait pada tahun 1409 Hijrah.

Oleh kerana perisian komputer dan permainan digital termasuk dalam harta intelek yang diiktiraf syarak, maka ia tidak harus dicerobohi melalui aktiviti cetak rompak dan seumpamanya.

Berikutan kepada pengiktirafan syarak terhadap harta intelek, maka hukum asal bagi pembelian, penjualan dan penyebaran harta intelek cetak rompak sama ada untuk tujuan komersial atau untuk kegunaan peribadi tanpa keizinan pemilik hak ciptanya adalah tidak diharuskan.

Sebaliknya, jika ia disebarkan oleh pemilik dan bersifat percuma, maka tidak menjadi kesalahan kita memuat turun.

Sebaiknya amalan memuat turun bahan cetak rompak ini dielakkan kerana bimbang termasuk di dalam bab membantu dalam perkara yang dosa.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain