suria

Syok menyanyi di bilik air, tiba-tiba suara wanita ikut duet bersama... Malam itu terjadilah kisah seram pemuda, pintu bilik air pun terbuka

Tabiat menyanyi ketika mandi telah membawa padah kepada Faizal.

SETIAP kali masuk ke bilik air untuk mandi, sudah menjadi kegemaran bagi Faizal untuk menyanyi sambil menyental badan. Bukan apa, dia merasakan suasana bilik air yang sunyi dan bergema membuatkan suaranya menjadi lebih 'sedap' dan lunak berbanding menyanyi di depan cermin.

Cara itu dapat juga menghilangkan rasa bosan di bilik air. Antara lagu kegemarannya ialah lagu Awie atau pun Amy Search.

ARTIKEL BERKAITAN: Percutian sekeluarga tinggal kenangan pahit... “Homestay depan kubur, wanita berkebaya terbang bertenggek atas pokok”

"Saya memang suka menyanyi, nak pula kalau dalam bilik air. Orang kata kalau menyanyi dalam tandas suara kita jadi lain dan bergema macam dalam studio rakaman!

"Memang dah jadi tabiat sampai ibu sering tegur. Kata ibu, perbuatan saya itu kurang sopan dan boleh mengundang perkara tidak baik.



Ramai orang suka mengasah bakat terpendam ketika di bilik air.

"Selalunya saya memang pekakkan saja telinga dan tetap menyanyi setiap kali di bilik mandi," katanya.

Sehinggalah pada suatu hari kata Faizal, selepas pulang daripada kelas tambahan, dia seperti biasa akan terus mandi sebelum bersedia untuk solat Maghrib.

Sambil mandi dia akan menyanyi lagu kegemarannya sehinggalah tiba-tiba dia terdengar suara pelik semasa menyental badannya.

"Masih jelas saya terdengar suara seorang perempuan seperti menyanyi di tepi telinga saya... terus meremang bulu roma saya!

"Saya ingat itu hanya khayalan atau perasaan saya sahaja tetapi setiap kali saya habiskan satu rangkap lirik lagu, akan ada suara perempuan itu seolah-olah mengulang apa yang saya sebut," ceritanya.

Saya fikir angin yang tolak tetapi saya terus menjerit apabila pintu itu kembali terbuka dan mendengar suara wanita seorang wanita sedang menyanyi.

FAIZAL

Paling menyeramkan kata Faizal, suara yang didengarinya itu cukup merinding dan mendayu-dayu seolah-olah sedang merintih.

Faizal memberitahu meskipun berasa takut dia cuba memberanikan diri melihat sekeliling bilik airnya namun tidak melihat sebarang kelibat.

"Saya berhenti menyanyi dan tutup air untuk mengamati suara yang saya dengar itu. Dalam keadaan sunyi itu, suara wanita itu cukup jelas.

"Suaranya halus dan lembut tapi saya masih boleh dengar dengan jelas setiap katanya... Lama saya tergamam sebelum capai tuala dalam lari keluar daripada bilik air," jelasnya.



Orang tua-tua berpesan kurang manis menyanyi di bilik air. - Gambar hiasan.

Pintu bilik air terbuka sendiri, demam seminggu

Enggan memikirkan apa yang berlaku kepadanya, Faizal yakin apa dialaminya itu sekadar mainan perasaannya namun tidak menyangka gangguan itu berlarutan.

Sebelum tidur kata Faizal, dia seperti biasa menggosok gigi dan mencuci wajahnya dan ketika keluar daripada bilik air, dia tidak menutup pintu.

"Saya memang sudah terbiasa tidak menutup pintu bilik air kerana cahaya lampu daripada luar memberi sedikit cahaya samar-samar ketika saya tidur.

"Dalam saya leka melihat Instagram sebelum melelapkan mata, pintu bilik air tiba-tiba bergerak dan tertutup membuatkan saya terkejut memandangkan ia menghadap katil saya.

"Saya fikir angin yang tolak tetapi saya terus menjerit apabila pintu itu kembali terbuka dan mendengar suara seorang wanita sedang menyanyi," imbaunya.



Kelibat wanita yang menyanyi di dalam bilik air membuatkan Faizal serik.

Faizal memberitahu dia cuba menjerit sekuat hati memanggil ibu bapanya dan mereka terkejut melihatnya dalam keadaan pucat dan berpeluh.

"Seminggu saya demam panas selain berasa trauma... Hampir sebulan juga saya tidak tidur di dalam bilik saya kerana takut.

"Ibu memanggil seorang ustaz untuk memulihkan semangat saya selain melakukan 'pembersihan' di seluruh rumah. Alhamdulillah sejak itu tiada lagi gangguan.

"Saya sendiri sudah tak berani nak menyanyi dalam bilik air... setiap kali saya nak menyanyi, pasti akan terkenangkan peristiwa yang menimpa saya sebelum ini," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain