suria

Bekerja sambil bercuti... sebelum itu, pertimbangkan 5 perkara ini

Selain bekerja di rumah, kita juga boleh memilih bekerja di lokasi percutian.

SEJAK penularan wabak Covid-19 ini segalanya telah berubah termasuk cara bekerja.

Ada sesetengah orang berasa tidak selesa dengan norma baharu ini sehingga menyebabkan stres, sekali gus menjejaskan prestasi kerja mereka.

ARTIKEL BERKAITAN: 5 hotel ini tawar pengalaman penginapan unik dan luar biasa, mana satu pilihan anda?

Disebabkan itu juga, ramai cuba mencari alternatif lain bagi mendapatkan mood positif ketika bekerja. Tidak dinafikan salah satu cara bagi meningkatkan mood bekerja adalah dengan memilih tempat yang tenang dan selesa.

Memandangkan ramai dibenarkan bekerja dari rumah, percutian sambil bekerja di lokasi menarik juga adalah salah satu cara bagi meningkatkan prestasi kerja.

Malah sejak akhir-akhir ini, banyak hotel menawarkan pakej menarik bagi yang ingin bekerja sambil bercuti dengan kelengkapan menarik seperti bilik persidangan, capaian Internet, ruang bekerja yang selesa dan sebagainya.

Bagaimanapun, sebelum itu pertimbangkan lima perkara ini;

1. Tujuan

Jika anda ingin bekerja di luar kawasan sambil menenangkan fikiran, anda perlu memilih tempat selesa dan mempunyai kelengkapan yang baik.

Selain itu, fikir tujuan utama anda ke tempat itu - adalah untuk bekerja dan bukannya berseronok kerana ia boleh menggangu fokus pekerjaan anda.

Antara yang perlu dipertimbangkan adalah lokasi menarik, selesa dan serta kemudahan memudahkan anda menyiapkan kerja.

Selain itu, tetapkan bajet bersesuaian kerana ini bukan masanya untuk membazir.

2. Lokasi

Bagi pemilihan lokasi pula, ia bergantung kepada berapa lama tempoh anda ingin menginap di situ. Jika merancang hanya dua hari satu malam, hotel berdekatan sudah memadai atau memilih kafe.

Budaya bekerja di kafe juga semakin popular sehinggakan ramai yang sanggup mencuba bekerja dari satu kafe ke kafe yang lain.

Apa-apa pun, pastikan faktor keselamatan diutamakan serta mematuhi semua SOP ditetapkan agar dapat membendung penularan dan jangkitan Covid-19.

3. Peralatan

Pastikan semua kelengkapan bekerja anda lengkap seperti komputer riba, dokumen penting, alat tulis serta wifi dibawa bersama.

Jangan ditinggalkan, topeng muka serta hand sanitizer sekiranya anda memilih untuk bekerja di kafe atau di tepi kolam renang.

4. Pergi bersama teman

Bagi mengelakkan rasa bosan dan menambah keseronokan, apa kata ajak rakan anda bersama. Bekerja bersama rakan sebenarnya dapat meningkatkan mood positif selain tidak berasa sunyi dan bosan.

Selain itu, sekiranya berlaku sebarang kecemasan, sekurang-kurangnya anda mempunyai teman untuk meminta bantuan.

5. Berdisiplin, profesional

Tidak kira di mana anda bekerja, atau apa juga tugasannya, disiplin dan sikap profesional harus tersemat di hati.

Selesaikan tugasan yang diarahkan dan buat sehabis baik dalam melaksanakannya. Apabila semua kerja sudah selesai, tak salah menikmati percutian anda.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain