suria

Penjejak AI tersemat dalam but bola sepak! Selepas 5 tahun, pengasas dilabel gila 'tuai' hasil

FIFA setuju guna AI dalam but bola sepak.

PERSEKUTUAN Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) telah meluluskan penjejak teknologi kecerdasan buatan (AI) 'revolusioner' untuk digunakan dalam but bola sepak sekali gus membolehkan data dikumpul semasa perlawanan.

Berita itu membuka pintu kepada peranti pengesan kaki bawah pertama yang akan dipakai dalam permainan bola sepak.

Pada 2019, Playermaker melancarkan penjejak AI baharu yang boleh dipasangkan pada but pemain untuk menjejak data prestasi teknikal dan fizikal.

Maklumat terdiri daripada masa dalam pemilikan, keseimbangan teknikal, halaju sepakan, kelajuan, jarak, pecutan dan perubahan arah.

Ia akan membolehkan pemain dan jurulatih menganalisis kemahiran unik semasa sesi latihan dan perlawanan dengan tujuan membawa pemantauan data prestasi ke peringkat seterusnya.

Teknologi baharu itu juga telah diluluskan oleh penggubal undang-undang bola sepak IFAB (Lembaga Persatuan Bola Sepak Antarabangsa).

Ketua Pegawai Eksekutif Playermaker dan pengasas bersama Guy Aharon berkata, lima tahun lalu, pihaknya telah membuat pertaruhan berani untuk meletakkan penderia pada kaki.

"Didorong dengan keyakinan yang tidak berbelah bahagi, kini kami boleh menyampaikan data dan cerapan yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

"Walaupun ada pihak yang ragu-ragu dan melabelkan kami sebagai orang gila, meragui siapa akan menerima sensor pada but bola sepak mereka, kami tetap bertahan.

"Kini, hanya beberapa tahun kemudian FIFA telah mengakui keselamatan, ketepatan dan potensi masa depan yang tidak dapat dinafikan bagi penderia kasut dalam merevolusikan permainan untuk semua," katanya.

Playermaker mempunyai perkongsian dengan lebih 200 kelab bola sepak profesional, termasuk pasukan Liga Perdana Manchester City dan Fulham, bersama peserta Liga Juara-Juara Benfica. - Daily Mail

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Berkaitan

Artikel Lain