suria

Peminat tidak teruja lihat aksi Romeo Beckham

ROMEO Bechkam membuat penampilan sulung dalam liga profesional. — Agensi

AKHIRNYA anak David Beckham, Romeo membuat penampilan sulung dalam liga profesional Amerika Syarikat (AS) bersama pasukan Fort Lauderdale CF.

Ramai peminat Beckham teruja untuk menunggu aksi Romeo dengan harapan pemain berusia 19 tahun itu mewarisi bakat besar ayahnya.

Namun ternyata harapan tinggi menggunung tidak terbalas dengan aksi pertama Romeo apabila rata-rata menyifatkan corak permainan anak Beckham itu sekadar tahap pemain biasa.

Dengan posisi sayap kanan seperti bapanya, Romeo dikatakan tidak mampu mengikut cara permainan Beckham yang terkenal dengan hantaran tepat.

Sepanjang tempoh 79 minit permainan sebelum ditukarkan, peminat ternyata mempunyai penilaian tersendiri terhadap Romeo dengan menyatakan pendapat mereka di media sosial terutamanya Twitter.

Ada yang menyuarakan rasa simpati terhadap Romeo dengan mengatakan agar sukar buatnya untuk mengikut jejak langkah ayahnya.

"Selamat maju jaya, Romeo. Membawa nama Beckham bukan tugas mudah," kata seorang peminat.

Namun tidak kurang juga yang memberi komen kurang memberangsangkan.

"Nampaknya bakat (Beckham) tidak diwarisi," kata seorang pengguna Twitter.

"Hantaran lintang di liga sosial lebih baik," kata seorang lagi pengguna yang mengkritik cara hantaran Romeo.

Bagaimanapun, rakan baik Beckham yang juga bekas pemain Manchester United, Phill Neville percaya Romeo mempunyai masa depan yang baik.

Phill yang merupakan ketua jurulatih Inter Miami berkata Romeo tidak akan menggunakan status bapanya untuk melangkah lebih jauh, sebaliknya akan berusaha sendiri ke arah itu.

"Dia perlu berusaha lebih keras berbanding rakan sepasukannya kerana pasti akan ada persoalan dan harapan yang perlu dia tanggung kerana dia anak David Beckham," katanya. — DailyMail

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Romeo Beckham

Artikel Sebelum

Artikel Lain