Pemain kacukan hoki Liga Australia idam sarung jersi negara - Sukan | mStar

Pemain kacukan hoki Liga Australia idam sarung jersi negara

Megat Shahriman bersama Sherren ketika lawatannya ke Melbourne baru-baru ini.

SELEPAS Kevin Lim, terdapat seorang lagi pemain berdarah kacukan Malaysia yang boleh dipujuk oleh Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) untuk mewakili skuad hoki negara ketika ini.

Pemain itu adalah Jake Sherren yang ketika ini beraksi buat Melbourne HC bagi saingan Liga Hoki Australia yang mana dia mempunyai pertalian darah Malaysia menerusi sebelah ibunya.

Ibu Sherren, Dr Rohani Paimin berasal dari Johor, Malaysia manakala bapanya berasal dari Australia dan situasi itu cukup untuk melayakan pemain tengah itu beraksi bersama skuad Malaysian Tigers.

Berusia 24 tahun, bakat berdarah Malaysia ini ditemui oleh Presiden Persatuan Hoki Kuala Lumpur (KLHA), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin ketika lawatannya ke Melbourne, baru-baru ini.

Menurut Rohani, anaknya sememangnya memasang impian untuk mewakili Malaysia dan hampir menyertai salah satu pasukan Liga Hoki Malaysia (MHL) pada tahun lalu.

"Sejak berusia 10 tahun dia mewakili Hockey Victoria dan untuk musim ini Melbourne HC menyambarnya untuk saingan Liga Hoki Australia.

"Dia juga menjadi antara barisan pemain Australia yang meraih tempat ketiga pada Kejohanan Hoki Dalam Dewan Dunia 2018 di Berlin iaitu pencapaian terbaik Australia setakat ini.

"Pada masa sama dia juga begitu berminat untuk mewakili Malaysia, cumanya sebelum ini tidak kesampaian untuk ke sana kerana terikat dengan komitmen di sini," katanya.

Sherren ditemui Megat tatkala beliau menonton aksi antara Powerhouse St Kilda menentang TEM dalam saingan liga utama Victoria baru-baru ini.

Difahamkan, aksi meyakinkannya sepanjang kempen itu menyebabkannya terpilih mewakili Melbourne HC ke saingan Liga Hoki Australia.

Sementara itu, Megat ketika dihubungi mengakui Sherren sebagai pemain tengah berkualiti dan beliau tidak menolak untuk mengikatnya beraksi bersama pasukan Liga Hoki Malaysia (MHL) yang bakal ditubuhkannya pada tahun depan.

"Saya akan bekerjasama dengan Lachlan Anderson () untuk bawa Sherren beraksi dalam saingan MHL dan mungkin daripada situ dia boleh yakinkan jurulatih Malaysia," katanya.

Jake Sherren , Hoki , Australia , Malaysia

Artikel Berkaitan