suria

ISN kecewa tindakan penembak negara

KUALA LUMPUR: Institut Sukan Negara (ISN) melahirkan kekecewaan terhadap tindakan tiga penembak negara yang mengadakan sidang akhbar bagi membawa kes mereka ke Mahkamah Rayuan, tanpa memaklumkan kepada badan induk itu.

Menurut kenyataan daripada ISN, kes itu yang merupakan tuntutan undang-undang daripada penembak negara Muslifah Zulkifli, Nur Ayuni Farhana Abdul Halim dan Nur Suryani Mohd Taibi, terhadap ISN selepas mereka digugurkan daripada Program Podium, hanya boleh diputuskan di mahkamah.

“Oleh kerana atlet-atlet berkenaan berhasrat terus membawa perkara ini ke mahkamah susulan pengumuman tentang hasrat mereka untuk merayu kepada Mahkamah Rayuan, dan disebabkan perkara ini merupakan prosiding Mahkamah yang sedang berjalan, maka ISN perlu mengelak daripada memberi sebarang komen berhubung kes itu agar ia tidak menimbulkan prejudis terhadap proses mahkamah.

“ISN terkejut dengan pengumuman itu kerana peguam cara kami tidak dimaklumkan mengenai rayuan tersebut dan mereka tidak menerima pra-syarat Notis Rayuan setakat 5 petang, 18 Julai 2018,” kata ISN.

Melalui sidang media yang diadakan tiga penembak berkenaan, semalam, ISN dimaklumkan mereka akan membuat rayuan kepada Mahkamah Rayuan.

Pada 30 Oktober tahun lepas, Muslifah, Nur Ayuni Farhana dan Nur Suryani memfailkan saman bagi membersihkan nama mereka di Mahkamah Kuala Lumpur.

ISN mempertahankan kedudukan badan induk itu berdasarkan kepada Seksyen 44 Akta Institut Sukan Negara 2011, di mana Mahkamah bersetuju dengan ISN dan seterusnya membatalkan saman tersebut pada 26 Feb 2018.

Ketiga-tiga atlet terbabit kemudian membuat rayuan di Mahkamah Tinggi pada 6 Julai, namun mahkamah menolak rayuan mereka dan mengesahkan bahawa saman itu dibatalkan di bawah Seksyen 44 akta yang sama. 

ISN adalah badan berkanun diwujudkan di bawah Akta Institut Sukan Negara 2011, dan mengikut peruntukan di bawah Seksyen 44 akta berkenaan menyatakan ISN boleh menggunakan Seksyen itu daripada sebarang tindakan, guaman, pendakwaan atau prosiding lain, namun badan induk itu perlu mengemukakan 'good faith' (niat suci). -Bernama

ISN, penembak negara

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Selamat Tinggal Kedah!

Artikel Lain