suria

Liverpool Tak Layan Coutinho

Philippe Coutinho

PERMINTAAN rasmi Philippe Coutinho untuk berpindah ke Barcelona dilaporkan tidak dilayan oleh Liverpool.

Pemain antarabangsa Brazil itu sering dikaitkan dengan kelab gergasi La Liga itu sejak 12 bulan lalu.

Minat Barcelona untuk mendapatkannya semakin meningkat berikutan perpindahan rakan senegaranya Neymar ke Paris St-Germain.

Starsport difahamkan Liverpool setakat ini telah menolak tawaran £72 juta dan £90 juta untuk mendapatkan Coutinho musim panas ini.

Fenway Sports Group (FSG) telah mengeluarkan satu kenyataan malam Jumaat yang menegaskan bahawa pemain itu akan terus kekal, kenyataan yang senada dengan jurulatih kelab, Jurgen Klopp.

Walau bagaimanapun, laporan mengejutkan sebelum itu mendakwa Coutinho telah menyerahkan permohonan perpindahan dalam usahanya untuk berhijrah ke Barcelona.

Sky Sports mendakwa Coutinho telah memberi tindak balas kepada kenyataan FSG dengan memberitahu Liverpool bahawa dia mahu meninggalkan kelab.

Sumber memberitahu Sky Sports: "Philippe telah berusaha bersungguh-sungguh untuk mencari penyelesaian yang baik untuk situasi ini tetapi tidak berjaya.

"Dia sangat sayangkan kelab dan peminatnya.

"Tetapi seperti Steven Gerrard dan Luis Suarez telah tegaskan pada masa lalu, Liverpool tidak membiarkan pemainnya meninggalkan kelab dengan terma atau cara baik."

Keputusan Coutinho untuk memaksa perpindahannya berlaku pada malam sebelum kempen Liga Perdana bermula.

Sebelum itu Klopp mengesahkan bahawa pemain tengah itu akan terlepas pertembungan Liverpool dengan Watford disebabkan kecederaan belakang.

Barcelona sanggup berbelanja besar berikutan penjualan £198 juta Neymar ke PSG minggu lalu.

Mereka dianggap sanggup menghabiskan lebih separuh dari jumlah itu untuk menerbangkan Coutinho ke Sepanyol.

Bekas pemain Inter Milan itu bukanlah satu-satunya pemain yang menjadi sasaran Barcelona.

Pemain sayap Borussia Dortmund Ousmane Dembele juga menjadi sasaran Ernesto Valverde dan dikhabarkan tawaran untuk mendapatkan pemain itu juga telah ditolak.

Philippe Coutinho, Jurgen Kloppe

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain