suria

Lima Hari Bergelar Juara Dunia, Rosberg Buat Kejutan Bersara

SELEPAS lima hari dinobatkan sebagai juara dunia Formula Satu (F1) 2016, Nico Rosberg membuat kejutan untuk bersara dari dunia perlumbaan.

Pelumba pasukan Mercedes kelahiran Jerman itu membuat pengumuman ketika sidang media Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) malah turut membuat pengesahan di laman Facebook miliknya pada Jumaat.

Menurut Rosberg, dia tidak sanggup untuk mengulangi pengorbanannya ketika bersaing dengan rakan sepasukan, Lewis Hamiton dalam merebut gelaran pelumba terbaik dunia .

Rosberg mendedahkan bahawa dia menganggap sudah bersara sejak memenangi perlumbaan GP Jepun Oktober lalu sekaligus menjuarai gelaran dunia dengan kelebihan mata keseluruhan.

"Ketika saya menang di Suzuka, saat itu takdir untuk saya bergelar juara dunia sudah berada di tangan dan tekanan besar bermula.

"Saya terfikir untuk menamatkan karier perlumbaan sekiranya menjadi juara dunia.




"Saya membuat keputusan pada petang Isnin lalu. Orang pertama yang saya beritahu mengenainya ialah Vivian dan Georg (pengurus pasukan Rosberg), diikuti Toto Wolff (ketua pasukan Mercedes).

"Perkara utama yang membuatkan saya untuk mengambil keputusan ini ialah kerana saya meletakkan 'keluarga' pasukan  (Mercedes) dalam situasi sukar. Namun Toto amat memahaminya," jelasnya.

Rosberg yang sebaya dengan Hamilton,31, bersara selepas sebelas musim beraksi dalam perlumbaan F1.

Dia menyertai pasukan Williams sebelum berpindah ke Mercedes pada tahun 2010 dan bergelar sebagai naib juara dunia di belakang Hamilton bagi 2014 dan 2015.

Rosberg menjulang trofi juara dunia pertamanya pada perlumbaan pusingan akhir di Abu Dhabi Ahad lalu walaupun dia menamatkan saingan di tempat kedua.

Selain itu, Wolff memberitahu, belum ada keputusan mengenai pelumba yang akan mengambil alih posisi Rosberg.

Nico Rosberg

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain